Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
JURULATIH berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim yakin Mohd. Nafuzi Zain masih pengendali terbaik untuk Terengganu FC (TFC) di sebalik kritikan diterima pengendali muda itu pada masa ini.
Irfan Bakti yang kini mengemudi Kuching City FC berkata, Nafuzi tidak perlu menghiraukan desakan dan komen negatif daripada penyokong, sebaliknya fokus untuk menghadapi baki saingan musim ini.
“Saya kenal dia (Nafuzi) dan kami sentiasa berhubung. Nasihat saya, bersabar dan kurangkan gangguan luar padang yang boleh menjejaskan pasukan.
“Bola sepak ada turun naik. Perlu diingat bahawa TFC bukan di zon penyingkiran, sebaliknya di kelompok atas dan masih dalam perebutan tangga kedua Liga Super,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Irfan Bakti percaya Nafuzi yang pernah menjadi pembantunya pada tahun 2017 dan 2018 amat berpotensi dan mampu membawa TFC ke peringkat lebih tinggi.
Tegasnya, Nafuzi sudah memberikan yang terbaik buat TFC, namun beliau mengingatkan peminat skuad Penyu agar bersabar kerana proses pembangunan sesebuah pasukan memakan masa.
“Sebagai bekas ketua jurulatih TFC, saya sentiasa mengikuti rapat perkembangan pasukan itu dan amat berbangga dengan pencapaian mereka di bawah kendalian Nafuzi.
“Apa pun nasihat saya kepada Nafuzi, sentiasa berbincang dengan pemain dan pengurusan agar sentiasa mendapat kepercayaan pemain dan bekerja tanpa gangguan,” katanya.
TFC akan menamatkan saingan Liga Super dengan aksi penting bertemu Penang FC di tempat lawan dalam misi hidup mati memburu slot automatik ke Piala AFC 2022.