PETALING JAYA – Pelakon Mimi Lana mengejutkan ramai dengan perkongsian gambar-gambar seolah-olah membayangkan dirinya sudah dirisik atau menjadi tunangan orang.
Dalam hantaran tersebut, Mimi atau nama lengkapnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 26, berkongsi gambar sedang duduk di atas pelamin dengan memakai busana serba hitam. Malah pelakon itu turut mempamerkan tangannya yang dihiasi inai.
“Kehidupan ini singkat. Semoga menempuhi hari minggu yang menakjubkan untuk semua,” tulisnya dalam ruangan kapsyen.
Bagaimanapun menurut pengurusnya, Iman Tang ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu bahawa majlis tersebut adalah majlis pertunangan sepupu kepada Mimi.
“Bukan Mimi yang bertunang. Tetapi sepupunya. Kalau Mimi bertunang saya akan jemput para media. Jangan risau,” ujarnya.
Tidak berapa lama kemudian, pelakon filem Saka Nan Sepi itu ada memuat naik satu hantaran dalam InstaStory menjelaskan perihal yang sebenar.
“Assalamualaikum. Hi semua. Saya minta maaf berdasarkan perkongsian terbaharu foto saya. Saya cuma meraikan sepupu kesayangan yang bernikah pada hari ini.
“Terima kasih kerana mendoakan yang baik-baik untuk saya. Jangan risau, kalau ada berita gembira, Insha-Allah pasti saya akan kongsikan dengan semua orang pada masa akan datang. Sayang semua,” ujarnya.
Sekadar info, Mimi sebelum ini pernah menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Syafiq Kyle, namun masing-masing mengambil keputusan untuk berpisah selepas lima tahun menjalin ikatan cinta. Malah, pasangan selebriti itu turut mengakui sudah tiada persefahaman antara mereka.
Bagaimanapun, sejak akhir tahun lalu, Mimi Lana kelihatan ada memuat naik sekeping foto bersama dengan Syafiq Kyle di dalam sebuah kenderaan sambil berpegang tangan.
Hantaran berkenaan turut mengundang perhatian netizen yang turut mendoakan agar mereka dijodohkan bersama. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929