TAIPING – Satu lagi kemudahan Telekom Malaysia Berhad (TM) dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) integrasi iaitu di Kompleks TM Taiping di sini bagi membantu melancarkan proses vaksinasi pada penduduk setempat.
Ini merupakan premis ketiga milik TM yang diubah selepas PPV Mega Integrasi di Kampus MMU Cyberjaya serta PPV di Kampus MMU Melaka.
Pengurus Besar, Kawal Selia dan Keterlibatan Negeri (TM Perak) Badrul Hisham Bahari berkata, Kompleks TM Taiping menjadi PPV integrasi swasta yang pertama di negeri tersebut dan telah memulakan operasinya pada pertengahan Ogos 2021.
Menurut beliau, ia antara usaha syarikat berkenaan dalam menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Kami amat gembira apabila berpeluang untuk memberikan sokongan bagi mempercepatkan program imunisasi di Perak dengan pembukaan Kompleks TM Taiping sebagai sebuah PPV.
“Kita telah berada di landasan tepat untuk mencapai imuniti kelompok dan TM akan terus menyokong sepenuhnya pelan pemulihan kerajaan dan terus disokong sepanjang setiap fasa pelan pemulihan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
PPV Kompleks TM Taiping ini boleh menampung pemberian vaksin sehingga 1,800 dos sehari.
Selain ruang Dewan Rumpun Seri, Dewan Kemboja dan tempat letak keretanya yang luas di premis itu, PPV tersebut turut dilengkapi dengan sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi untuk kemudahan pengunjungnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929