PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan peletakan jawatan Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee yang akan menamatkan khidmatnya buat kali terakhir pada bulan ini.
Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar berkata, surat peletakan jawatan itu diserahkan Kim Swee hari ini dan pihak pengurusan FAM telah menerima peletakan jawatan tersebut.
Kata Saifuddin, Kim Swee mengambil keputusan untuk menjadi ketua jurulatih Sabah FC berkuat kuasa 1 Oktober depan dan pelepasannya dicapai menerusi persetujuan bersama.
“FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Kim Swee atas khidmat dan jasanya sepanjang bersama FAM dan mendoakan agar beliau berjaya dengan karier baharunya bersama Sabah FC,” katanya dalam satu kenyataan.
Kim Swee yang berusia 51 tahun telah berkhidmat bersama FAM sejak 2007 dengan pelbagai jawatan iaitu ketua jurulatih skuad B-16 kebangsaan, skuad B-17 kebangsaan, skuad Harimau Muda, skuad B-23 kebangsaan, skuad Harimau Malay, Ketua Unit Belia dan terakhir sebagai Pengarah Teknikal bermula Januari 2021.
Antara kejayaan Kim Swee sepanjang bersama FAM ialah membimbing pasukannya muncul juara Piala Belia 2007, juara Liga Premier 2009, pingat emas Sukan SEA 2011 dan juara Pestabola Merdeka 2013. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929