fbpx

Helang Merah gagal manfaat peluang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YONG-HYUN cuba melepasi dua pemain KDA FC pada perlawanan yang berkesudahan seri 3-3 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman kelmarin.

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

KEGAGALAN barisan pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC)untuk menjelmakan jaringan meskipun banyak peluang terhidang diakui mendatangkan tekanan kepada pasukan itu sendiri pada perlawanan menentang UiTM FC di Stadium Darul Aman kelmarin.

Namun, jurulatih mereka, Aidil Sharin Sahak tetap memuji kesungguhan anak-anak buah­nya untuk mengenepikan tekanan itu sekali gus mengikat pasukan pe­lawat 3-3 biarpun ketinggalan 3-1 ketika perlawanan berbaki hanya 20 minit.

Menurut Aidil, pemainnya kini berdepan tempoh yang mencabar apabila perlu beraksi sehingga lapan perlawanan dalam sebulan.

“Para pemain bekerja keras dan menghasilkan banyak peluang pada separuh masa pertama tetapi gagal menjaringkan gol. Saya fikir itu yang meletakkan tekanan kepada kita.

“Pasukan lawan cuma ada tiga peluang tetapi menyempurnakan ketiga-tiganya dan itulah yang membezakan antara kami dengan mereka.

“Tetapi saya bertanggungjawab. Pemain sudah mencuba yang terbaik, namun mereka mungkin penat atau kurang konsentrasi kerana tidak mudah untuk bermain hingga lapan perlawanan dalam sebulan selain hujan lebat seperti malam ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Pada aksi itu, kapten KDA FC, Baddrol Bakhtiar terlebih dahulu meletakkan pasukan tuan rumah di depan menerusi gol pada minit ke-36 sebelum penye­rang UiTM FC, Dennis Buschening menyama­kan kedudukan menerusi sepakan penalti, dua minit kemudian.

Meskipun berjaya menambah dua lagi gol pada minit ke-46 dan 63 menerusi Kwon Yong-Hyun dan Ariff Ar-Rashid, hasrat UiTM untuk mencipta kejutan tidak kesampaian apabila KDA FC kembali menyamakan kedudukan hasil jaringan Muhamad Fikhri Zulkiflee dan Tchetche Kipre pada minit ke-73 dan 80.

Mengulas mengenai perlawanan terakhir yang akan menentukan kedudukan tangga kedua liga musim ini, Aidil berharap para pemain akan memberikan yang terbaik meskipun KDA FC dilihat memiliki peluang lebih besar berbanding dua pasukan pesaing iaitu Penang FC dan Terengganu FC (TFC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI