PELUMBA negara, Hafizh Syahrin Abdullah berharap kecederaan badan yang menimpanya sewaktu beraksi di Grand Prix (GP) Britain bulan lalu tidak berulang menjelang perlumbaan GP Aragon hujung minggu ini.
Pada perlumbaan itu, Hafizh yang beraksi dalam kesakitan tetap gigih meneruskan saingan dan masih mampu menamatkan perlumbaan Moto2 di kedudukan ke-21 bersama pasukan NTS RW Racing GP.
Selepas melakukan pemeriksaan, Hafizh mengakui keadaan dirinya bertambah baik, namun perlu berhati-hati agar kecederaan itu tidak berulang.
“Ketika saya ingin turun melakukan larian semalam, ada terasa sedikit kesakitan di belakang badan. Namun, keadaan bertambah baik berbanding ketika di Silverstone.
“Saya telah jalani pemeriksaan dan mungkin perlu ambil berat mengenai kecederaan tersebut. Saya harap minggu ini kecederaan tidak berulang meskipun masih ada rasa sedikit gangguan,” katanya.
Selepas 12 pusingan perlumbaan, Hafizh kini menduduki tangga ke-26 dengan lapan mata keseluruhan. Remy Gardner kekal di tangga teratas dengan 231 mata.
Selain Hafizh, pelumba muda negara, Syarifuddin Azman turut beraksi pada GP Aragon bersama pasukan Petronas Sprinta Racing dalam saingan Moto3.
Syarifuddin atau dikenali sebagai Damok akan menggantikan tempat John McPhee yang diberi peluang beraksi dalam kelas Moto2 selepas Jake Dixon bersaing bagi kelas perdana, MotoGP.