fbpx

Grace robot jururawat peneman pesakit Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GRACE menunjukkan keupayaannya berinteraksi dengan seorang individu baru-baru ini.

“SAYA boleh temani pesakit dan ceriakan hari-hari mereka menggunakan simulasi sosial selain menjalankan terapi percakapan dan membantu petugas kesihatan di hospital,” kata Grace kepada Reuters dalam satu temu bual baru-baru ini.

Kata-kata tersebut disambut dengan sorakan gemuruh daripada beberapa orang yang turut serta dalam sesi temu bual itu. Siapa sangka, ayat tersebut diungkapkan oleh sebuah robot prototaip.

Dikenali sebagai Grace, ia merupakan robot manusia yang dibangunkan menerusi teknologi kecerdasan (AI) oleh sebuah firma robotik, Hanson Robotics yang berpangkalan di Hong Kong.

Firma tersebut membangunkan Grace sebagai robot humanoid jururawat yang disasarkan khas untuk menjadi peneman warga emas dan individu yang diasingkan di wad akibat jangkitan Covid-19.

Begitupun, Grace merupakan robot kedua yang dicipta oleh syarikat tersebut selepas mereka membangunkan Sophia pada tahun 2016 menggunakan teknologi sama.

Mengimbau kembali, Sophia merupakan robot menyerupai manusia pertama yang dihasilkan di dunia dengan matanya mampu berkedip dan boleh melihat sisi ke sisi selain berkomunikasi dengan individu sekeliling secara natural.

GRACE dibangunkan sejak awal tahun lalu oleh Hanson Robotics bagi meringankan bebanan petugas kesihatan di hospital.

Kecanggihan teknologi pada robot tersebut menyebabkan Sophia popular seantero dunia sehingga berjaya melakar sejarahnya yang tersendiri sekali gus diberi kewarganegaraan oleh kerajaan Arab Saudi.

Kini, selepas lima tahun, Hanson Robotics berjaya mencipta sebuah lagi robot manusia menggunakan teknologi AI yang sama dinamakan Grace.

Apa yang membezakan Grace ialah robot dibangunkan awal tahun lalu itu merupakan robot kesihatan menyerupai manusia pertama di dunia yang diinspirasikan daripada pandemik Covid-19.

Dari konteks robot secara umum, Grace bukanlah robot pertama yang dibangunkan untuk membantu petugas barisan hadapan kerana beberapa buah negara lain sebelum ini pernah mencipta robot bagi tujuan tersebut.

Sebuah firma di Jepun misalnya telah membangunkan tiga buah robot dikenali sebagai Dinsow, Paro dan Pepper yang direka untuk mengawasi pesakit dan mengingatkan mereka untuk mengambil ubat.

Bagaimanapun robot-robot tersebut tidak direka menyerupai manusia sebenar.

Dicipta sebagai pembantu kepada pengamal perubatan, Grace turut dilengkapi dengan alat pengesan termasuk kamera terma di bahagian dada bagi mengesan suhu dan nadi pesakit, sekali gus membantu doktor mendiagnosis penyakit sebelum rawatan diberikan.

Lebih menarik, berfungsi sebagai peneman manusia, Grace diformat dengan penguasaan tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Mandarin dan Kantonis. Biarpun cuma sebuah robot, namun Grace mampu berinteraksi secara sosial dan mengendalikan sesi terapi secara bersendirian bersama pesakit dengan baik.

TANDA nama Grace tersemat di dada robot humanoid itu.

Menurut salah seorang pelopor dalam bidang robotik sosial, Lucy Suchman, kehadiran Grace tepat pada waktunya. Ini kerana, apabila dunia kini dilanda pandemik, permintaan terhadap penjagaan tanpa sentuhan dan solusi telekesihatan kian menjadi keperluan ekoran pertambahan pesakit Covid-19 yang dikuarantin.

Secara tidak langsung, ini meringankan beban petugas barisan hadapan yang terpaksa bekerja lebih masa dalam usaha membendung Covid-19.

Data terbaharu dikeluarkan Pusat Pengendalian Penyakit melaporkan sehingga awal Ogos lalu seramai 450,517 kakitangan sektor kesihatan di Amerika Syarikat dijangkiti Covid-19. Apa yang menyedihkan, 1,497 daripada mereka terkorban.

Justeru katanya lagi, robot merupakan penyelesaian terbaik ketika dunia hampir lumpuh bahana pandemik.

Lebih-lebih lagi apabila pekerja-pekerja di bahagian kesihatan merupakan antara golongan yang paling berisiko dijangkiti wabak tersebut.

“Kita telah lihat penggunaan robot dalam industri perkilangan yang mana mesin tersebut boleh berfungsi dengan sangat baik di sana menerusi kerja-kerja pemasangan dengan format pekerjaan yang diseragamkan.

“Kewujudan Grace sudah semestinya memberi satu lembaran baharu kepada sektor kesihatan dunia dan mampu memberi manfaat kepada petugas kesihatan. Sekurang-kurangnya robot ini dapat bergerak membantu masyarakat biarpun fungsinya terhad kepada tugas-tugas tertentu yang telah ditetapkan,” ujarnya.

SATU babak video yang dikeluarkan pihak tertentu memaparkan Grace memakai pakaian jururawat biru untuk membantu para petugas kesihatan melayani pesakit Covid-19.

Memahami kegelisahan ramai, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hanson Robotics, David Hanson menjelaskan, Grace bukanlah pengganti petugas kesihatan biarpun diprogramkan dengan pelbagai fungsi. Sebaliknya, ia lebih cenderung kepada tugas-tugas sokongan dan menjadi pelengkap tambahan.

“Pun begitu, Grace ternyata berfungsi lebih daripada sekadar menemani dan menghiburkan hati pesakit. Fungsinya sebagai interaksi sosial akan meringankan beban petugas barisan hadapan di hospital.

“Kami sengaja memilih uniform jururawat berwarna biru untuk disarungkan pada robot tersebut kerana ia mampu mengeratkan lagi hubungan antara Grace dengan pesakit dan memberi mereka gambaran seperti sedang berinteraksi dengan manusia biasa.

“Penampilan ini penting kerana ia mampu meraih kepercayaan individu dan membentuk ciri semula jadi memandangkan ia dibangunkan khas untuk pertuturan secara bersemuka sesama manusia.

“Grace boleh mensimulasikan efek lebih 48 otot wajah utama dan mempunyai ekspresi santai seperti watak-watak anime dengan penggabungan gaya masyarakat Asia dan Barat,” jelasnya.

Memetik laporan CNN, Hanson Robotics berkata, pihaknya kini sedang membangunkan robot tersebut secara besar-besaran untuk dihantar ke beberapa buah negara termasuk Hong Kong, China, Jepun dan Korea Selatan pada tahun hadapan.

Menariknya bukan sahaja Grace, mereka turut akan mengeluarkan lebih banyak Sophia untuk manfaat masyarakat dunia.

Seorang profesor komunikologi di University of Hawaii, Prof. Kimmin Su berpendapat, kewujudan Grace merupakan satu keperluan kepada masyarakat dunia susulan situasi semasa.

Hidup terasing akibat kawalan pergerakan bagi membendung Covid-19 menyebabkan ramai individu berdepan masalah kesihatan mental sehingga mengalami depresi.

Justeru, dengan bantuan menerusi sokongan sosial, ia sudah tentu akan menghindarkan individu daripada masalah tersebut.

“Bagaimanapun dalam suasana norma baharu, berhubung antara satu sama lain pastinya satu hal mustahil. Sekurang-kurangnya dengan bantuan robot seperti Grace mampu menjadi pengganti ‘manusia’ dan pasti memberi kesan positif kepada masyarakat.

“Grace berkemungkinan akan dijual kepada organisasi yang menyediakan penyelesaian teknologi bagi penjagaan kesihatan. Tetapi tidak mustahil robot ini juga bakal mendapat permintaan tinggi dalam kalangan individu persendirian,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI