JELI – Dua lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang mereka merempuh sebuah kereta yang membuat pusingan U secara mengejut di Kilometer 87, Jalan Gerik – Jeli dekat Wakaf Zink di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 11 pagi itu menyebabkan penunggang motosikal berusia 17 tahun dan seorang lagi mangsa berusia 31 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Ariffin berkata, siasatan awal mendapati, dua orang mangsa itu bersama seorang lagi remaja berusia 17 tahun menunggang motosikal masing-masing jenis Honda EX5 dari arah Tanah Merah menghala ke Jeli.
Menurutnya, dalam pada itu, sebuah kereta jenis Honda Civic dari arah sama dipercayai telah membuat pusingan U secara mengejut.
“Insiden itu menyebabkan tiga buah motosikal itu tidak sempat mengelak sebelum merempuh kereta tersebut. Dua daripada penunggang motosikal itu yang berasal dari Kota Bharu dan Lakota di sini disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Seorang lagi penunggang motosikal yang berasal dari Ayer Lanas di sini turut mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian anggota badan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Ahmad, dua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat manakala seorang lagi mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama.
Ujarnya, bagaimanapun, pemandu kereta jenis Honda Civic yang berusia 36 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung nahas itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929