SELEPAS melakukan penghijrahan, kemudian mendirikan rumah tangga dan kini bahagia membesarkan tiga orang anak, pelakon dan pengacara Diana Amir sememangmnya sengaja memperlahankan rentaknya dalam bidang seni.
Sehinggakan ada yang beranggapan, karier seninya sudah berkubur meskipun dahulu, dia pernah mencipta populariti menerusi beberapa naskhah seperti Sari Maya 2 dan Adam Maya.
Belum berkubur, tetapi wanita berusia 35 tahun itu menjelaskan bahawa dunia lakonan bukan lagi keutamaan buatnya.
“Kalau tanya bab berlakon, sekarang dah tak berapa teruja sebab banyak benda perlu difikirkan. Terutama anak-anak sebab saya jaga sendiri mereka, tiada pembantu rumah.
“Tapi kalau pengacaraan, saya okey. Sebab kerja hos lebih mudah dan tidak memerlukan komitmen masa yang panjang berbanding lakonan. Jadi kalau saya tiada tawaran berlakon pun, tak ada masalah sebenarnya,” katanya yang kali terakhir berlakon sekitar lima tahun lalu.
Pemilik nama penuh Nurdiyana Amir Hashim itu bagaimanapun tidak menolak untuk kembali berlakon, tetapi hadir dengan ‘syarat’ tertentu.
“Contohnya kalau ada yang bersesuaian macam platform Nurflix. Sebab jika bekerja dengan mereka, semua orang termasuk pelakon sehinggalah pasukan produksi menjaga solat.
“Aurat juga dijaga. Malah kami semua menjaga ikhtilat dan batasan, tidak bercampur sewenang-wenangnya antara lelaki dan perempuan,” katanya lagi.
Hijrah, populariti
Keterampilan ibu kepada tiga cahaya mata, Khaulah Al Azwar, Khadija Azzehra dan Muhammad Khalid Al Habib itu sebagai selebriti wanita berhijab sememangnya sudah lama diketahui umum.
Ujar Diana yang dihubungi HibGlam baru-baru ini, penghijrahan adalah sebuah hadiah Allah dan manusia yang mendapatkannya perlu bersyukur kerana dikurniakan hidayah untuk kembali mendekatkan diri kepada Pencipta.
Dalam konteks dunia hiburan misalnya, kita sering dikaitkan dengan persepsi bahawa populariti akan merudum andainya seseorang selebriti memilih jalan hijrah, namun Diana ada pesanan untuk ditelan.
“Apabila orang kata populariti akan turun selepas berhijrah, itu semua bukan kayu ukur kejayaan seseorang. Tapi yang paling penting adalah bagaimana kedudukan dia di sisi Allah SWT.
“Untuk kawan-kawan yang mahu atau sudah berhijrah, jangan risau sebab rezeki di tangan Allah bukannya manusia.
“Sesiapa yang diberi hidayah untuk berubah, cepat-cepatlah belajar ilmu, dekatkan diri dengan agama supaya mudah berjalan di atas landasan yang betul. Jangan susah hati sebab kalau kita kejar akhirat, dunia pun dapat,” katanya.
Sebagai ‘orang lama’ yang terlebih senior melalui perubahan, Diana diajak berbicara tentang atmosfera dunia hiburan sekarang yang diserikan dengan banyak berita positif membabitkan selebriti, tempatan terutamanya individu yang semakin mendekatkan diri dengan agama.
Pemergian penyanyi Siti Sarah pada 9 Ogos lalu misalnya boleh dijadikan contoh apabila ramai menyifatkan kehilangan isteri pelawak Shuib Sepahtu itu menimbulkan kesedaran dalam hati ramai orang.
“Saya tidaklah rapat dengan arwah tapi pemergiannya buat kita nampak bahawa rahmat Allah itu benar. Orang tak perasan apa kebaikan dia buat masa hidup, tapi Allah tunjukkan apa yang Dia beri kepada mereka yang ikut syariat agama.
“Sama seperti kebanyakan orang lain, kejadian tersebut buatkan saya rasa lebih bermotivasi untuk menjadi lebih baik,” tuturnya lagi.
Peranan ibu, Nurflix
Gelanggang perbualan tempoh hari turut menyentuh tentang kehidupannya memikul tanggungjawab dan peranan selaku isteri dan ibu, lebih-lebih lagi pada era pandemik.
Perubahan landskap pendidikan negara yang beralih kepada sistem pembelajaran dalam talian sememangnya memberi cabaran besar buat golongan ibu bapa yang terpaksa mengambil alih peranan guru di sekolah.
Diana juga tidak terkecuali, tetapi katanya, ada banyak lagi perkara dan nikmat lain yang sangat disyukurinya jika dibandingkan dengan cabaran yang dialami.
“Saya sangat bersyukur sebab ada laman di depan rumah, jadi di situlah tempat anak-anak saya bermain dan buat aktiviti sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Jika sebelum ini, saya gemar bawa anak-anak keluar berjalan meneroka dunia, tapi sekarang saya pandang hikmah atas apa yang berlaku sekarang sebagai cara untuk Tuhan mengeratkan kasih sayang antara kami.
“Memang ada masanya mencabar, tapi perlu fikir positif sajalah. Sekurang-kurangnya masih ada kerja, rumah untuk berteduh dalam keadaan sukar begini,” kata Diana.
Semenjak tidak lagi aktif selaku pelakon, Diana kini banyak menumpukan perhatian terhadap kerjayanya dalam bidang penerbitan program sebagai Penerbit Eksekutif Nurflix Junior.
Mendepani peranan sebagai penyedia kandungan berilmiah untuk tontonan masyarakat, Diana mengakui ada cabaran yang terpaksa ditempuh terutamanya dalam fasa pandemik.
“Semua orang ada rasa cabaran tetapi alhamdulillah, kandungan Nurflix sentiasa dapat sambutan yang baik walaupun tidaklah sehebat platform lain.
“Cuma bagi saya, jumlah tontonan atau sambutan bukan misi utama. Apa yang kita nak adalah menyediakan kandungan berilmiah dan bermanfaat untuk orang. Bab sambutan, kita serahkan kepada Allah sebab itu di luar bidang kuasa manusia,” tutupnya.