PETALING JAYA – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini menyarankan masyarakat agar mempelajari tanda-tanda amaran berhubung tingkah laku membunuh diri.
Beliau menerusi hantaran di laman Twitter berkata, situasi pandemik sangat mempengaruhi kesihatan mental semua orang sekali gus meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri.
“Bunuh diri dapat dicegah. Kita semua harus memainkan peranan. Dapatkan pertolongan, tunjukkan perhatian, jangan diskriminasi.
“Kami ada di sini untuk anda,” tulisnya bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia yang disambut pada 10 September setiap tahun dengan tema sambutan kali ini ialah Bertindak Segera Harapan Terbina.
Tinjauan Kosmo! mendapati netizen di laman Twitter turut menunjukkan tanda sokongan terhadap kempen sambutan tersebut menerusi tanda pagar #WSPD2021 atau World Suicide Prevention Day 2021.
“Assalamualaikum, hello, apa khabar, jaga diri. Menyatakan perkara ini adalah tindakan kecil tetapi memberi makna besar dalam kehidupan orang lain,” ciap Madi Azmadi.
“Jangan risau, bergembiralah. Pagi dunia. #WSPD2021,” ujar Khairul Hafidz.
“Harap cubaan bunuh diri boleh dinyahkan dari Seksyen 309 sebagai satu kelakuan jenayah,” cadang @ajipkasa. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929