fbpx

Bekas tentera terharu rumah dibaik pulih ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nasrudin (dua kanan) ketika disantuni Noh (paling kanan) dan Ya'cob (dua kiri) dalam program Jiwa Murni ATM di Kampung Parit Tiga, Sungai Burung, hari ini. - Foto ZULFADHLI ZAKI

KUALA SELANGOR – Seorang bekas tentera tidak berpencen, Nasrudin Mohamed terharu dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membantu baik pulih rumahnya demi kelangsungan kehidupannya.

Nasrudin, 63, berkata, tindakan ATM dalam program jiwa murni itu menunjukkan pasukan keselamatan itu sentiasa menghargai bekas anggotanya yang terkesan walaupun khidmatnya hanya selama 10 tahun ini.

Dia yang berpangkat terakhir sebagai Lans Koperal di pasukan 4 Briged, Temerloh memberitahu, bumbung rumahnya yang bocor amat menyukarkan terutama ketika waktu hujan.

“Saya langsung tidak menyangka terpilih sebagai salah seorang penerima dalam program ini.

“Tambahan, pendapatan tidak seberapa dengan hanya bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah menengah di daerah ini,” katanya ketika ditemui pada program jiwa murni di Kampung Parit Tiga, Sungai Burung hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar yang turut menghulurkan bantuan makanan dan Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran.

Jelas bapa kepada empat orang anak itu, sepanjang perkhidmatannya bersama ATM dia pernah menyertai Ops Gubir dalam melawan komunis di utara Semenanjung selama tiga bulan.

“Ini termasuk menyaksikan tiga rakan cedera termasuk di tembak pada mata dan patah kaki cukup mendebarkan ketika itu.

“Saya menamatkan perkhidmatan pada 1986 sebelum terus menetap bersama keluarga di tanah pusaka milik keluarga isteri,” katanya.

Sementara itu, Ya’acob berkata, terdapat lima buah rumah bekas tentera termasuk di Tanjong Karang yang dibantu dalam program tersebut dengan melibatkan peruntukkan RM10,000 setiapnya.

“Seramai 30 anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) digerakkan dengan tempoh penyiapan baik pulih bagi kelima-lima buah rumah itu dilakukan dalam tempoh tiga minggu.

“Baik pulih itu melibatkan bumbung, tandas, elektrik dan mengecat dengan permohonan dilakukan menerusi persatuan veteran,” katanya. -K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI