KABUL, Pakistan – Seorang bapa di Afghanistan mendedahkan bahawa dia terpaksa menjual anak perempuannya yang berusia empat tahun bagi mendapatkan wang untuk memberi makan kepada anggota keluarga lain akibat kemiskinan, lapor akhbar The Sun semalam..
Mir Nazri yang merupakan bekas anggota polis memberitahu, dia terpaksa menjual anak perempuanya, Safia pada harga £420 (RM2,408) kepada seorang pemilik kedai runcit yang tidak mempunyai cahaya mata.
Situasi Mir dilaporkan sebagai perkara normal di Afghanistan sejak kumpulan Taliban mengambil alih pentadbiran negara tersebut.
“Saya sanggup mati jika itu dapat mengelakkan anak saya daripada dijual kepada orang asing.
“Namun, kematian saya akan menjadi sia-sia kerana ia akan membuatkan ahli keluarga lain lebih menderita tanpa penjaga untuk memastikan mereka terus hidup,” kata Mir.
Tambahnya, pemilik kedai runcit itu berjanji sekiranya dia mampu membayar semula harga jualan Safia, kanak-kanak itu akan dikembalikan kepadanya.
“Mungkin masa depan anak saya lebih baik dengan keluarga baharu dan wang yang diterima hasil pajakan Safia boleh menyelamatkan anak-anak yang lain.
Menurut Mir, dia dan keluarga melarikan diri ke Kabul sebelum Taliban menguasai ibu negara Afghanistan dan kini bekerja sebagai pembantu gerai di pasar namun gajinya tidak cukup untuk membayar sewa rumah sekalipun.
“Kami bersyukur perang sudah berakhir namun penduduk Afghanistan kini berdepan musuh baharu iaitu kemiskinan,” ujar Mir. – Agensi