REGGIO EMILIA – Juara Eropah, Itali mengekalkan status terbaik mereka apabila menewaskan Lithuania 5-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022 sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah 37 perlawanan berturut-turut.
Sebelum ini, skuad kendalian Roberto Mancini itu dilihat tertekan apabila sekadar mengutip dua mata daripada dua perlawanan selepas seri dengan Bulgaria dan Switzerland minggu lalu.
Kemenangan besar ke atas Lithuania awal pagi semalam melegakan Mancini yang gembira dengan prestasi barisan pemainnya selepas membuat lapan pertukaran untuk perlawanan di Stadium Mapei itu.
“Walaupun kehilangan ramai pemain tetapi pasukan masih dapat menunjukkan permainan yang cukup baik sepanjang perlawanan.
“Sesiapa sahaja boleh melakukan kesilapan terutama ketika berdepan Switzerland. Namun, perkara paling utama adalah kekal tenang dan tidak hilang fokus. Jika masalah itu menjadi gangguan, saya yakin mereka tidak mampu bermain dengan baik,” kata Mancini.
Dalam aksi itu, penyerang pinjaman Juventus, Moise Kean tampil cemerlang apabila meledak dua gol selain masing-masing satu daripada bintang muda Sassuolo, Giacomo Raspadori, Giovanni Di Lorenzo dan jaringan sendiri Edgaras Utkus.
Mancini tanpa berselindung memuji kecemerlangan Raspadori yang sepatutnya mencetak dua gol tetapi percubaannya terkena tangan Utkus sebelum ia disahkan sebagai jaringan sendiri daripada pemain tengah Lithuania itu.
“Raspadori sudah bersama pasukan sejak Euro 2020 dan sentiasa mempamerkan aksi terbaik sepanjang kem latihan. Dia masih muda dan perlukan banyak pengalaman di peringkat antarabangsa,” jelas Mancini.
Azzurri kini mendahului Kumpulan C menerusi 14 mata diikuti Switzerland di tempat kedua dengan lapan mata, namun mempunyai kelebihan dua perlawanan dalam tangan. – AGENSI