fbpx

Amalan merancang masa lahirkan masyarakat berkualiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG yang tahu menghargai dan menepati masa dapat melakukan pelbagai pekerjaan dengan lebih efisien.- Gambar hiasan

KERAJAAN telah merangka pelbagai agenda pembangunan yang selaras dengan tuntutan Islam melalui pendekatan seimbang dalam aspek spiritual, ekonomi, pendidikan,kemasyarakatan, undang-undang dan sebagainya.

Ini kerana, kerajaan menyedari Islam bukanlah suatu agama bersifat ritual semata-mata, tetapi turut menitikberatkan soal praktikal iaitu diturunkan untuk mengatur kehidupan masyarakat secara lebih realistik untuk mendepani cabaran mendatang.

Islam pada permulaannya memberi tumpuan penting kepada pencapaian kehidupan masyarakat secara lebih berkualiti.

Mencapai tahap kehidupan yang tinggi dalam kesemua aspek keperluan adalah matlamat utama agama.

Bahkan Islam menuntut semoga setiap individu berusaha untuk menguasai ilmu dan kemampuan mencapai kejayaan dalam kehidupan di dunia.

Kehidupan akhirat pula adalah hasil daripada kemampuan individu melaksanakan kehidupan dunia yang berkualiti daripada kesemua aspek termasuk kerohanian, fizikal dan material.

Ini bertepatan dengan firman Allah dalam al-Quran surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud:

“Tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat, janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dan dunia, berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-nikmatnya yang melimpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”

Kehidupan berkualiti akan dicapai melalui kejayaan negara memenuhi keperluan kehidupan asasi seperti memelihara amalan beragama, kemampuan memajukan taraf pendidikan, menghadapi kehidupan yang aman, hak memiliki harta dan jaminan kepada generasi masa hadapan yang cemerlang.

Bermula dengan pencapaian keperluan asasi tersebut, kualiti kehidupan mengikut Islam berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah tidak begitu statik, malah usaha untuk meningkat maju dalam kesemua aspek perlu diusaha dan dijayakan dari semasa ke semasa.

Ia bagi membolehkan pencapaian yang diperoleh setanding dengan masyarakat lain yang semakin berkembang maju di dunia.

Di samping itu, Islam turut memberi keutamaan kepada institusi keluarga yang menjamin kepada lahirnya generasi seimbang dan berprestasi.

Dalam hal ini, gejala sosial masyarakat dapat dikurangkan jika setiap orang dalam institusi itu berfungsi dengan berkesan.

Dalam pada itu, untuk membentuk sebuah kehidupan yang lebih berkualiti, pengurusan masa amat penting dalam kehidupan seharian manusia.

Dalam Islam, masa bukan emas, tetapi nyawa dan kehidupan.

Apabila masa terbuang ataupun hilang seperti nyawa dan kehidupan, ia tidak dapat diganti.

Justeru, manusia yang tidak mahir dalam aspek pengurusan masa akan mensia-siakan hidup mereka.

Manusia seperti itu sebenarnya tidak menghargai hidup dan nyawanya.

Orang yang suka membuang masa seolah-olahnya sedang membuang modal yang sepatutnya digunakan bagi mengembangkan perniagaan.

Di dalam kitab Ihya Ulumuddin, dalam bab Bahaya Lidah, Imam Ghazali berkata: “Modal bagi seseorang hamba Allah adalah waktunya. Jika dia gunakan waktu itu pada perkara yang tidak diperlukan dan tidak digunakannya untuk mencari pahala akhirat, dia telah mensia-siakan modalnya.

Allah telah memberikan kepada setiap insan agihan masa yang sama iaitu 24 jam sehari semalam.

Suka menangguhkan kerja adalah penyakit sering ‘menyerang’ golongan gagal kerana bagi mereka, esok pasti datang.

Sebaliknya, golongan yang berjaya segera memanfaatkan waktu sekarang kerana ia sedia ada dalam genggaman mereka.

Justeru, dalam mencapai kehidupan lebih berkualiti, kita perlukan perancangan dan pengurusan masa yang baik.

Selain itu, setiap individu perlu menjaga imej positif serta sentiasa konsisten melakukan kebaikan untuk mencapai kecemerlangan dalam hidup.

Ini termasuk kesediaan untuk bermusyawarah serta bekerja dalam pasukan demi kejayaan bersama.

Akhir sekali, walau sebesar manapun pangkat dan darjat kita, jangan lupakan ibadah khusus kepada Yang Maha Pencipta seperti solat, membaca al-Quran serta berdoa meminta petunjuk dan diberikan kehidupan dan keluarga yang baik serta berkualiti.


Dr. Nur Najwa Hanani merupakan Pensyarah Kanan di Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI