fbpx

400 penghuni Depoh Tahanan Imigresen Kota Kinabalu merusuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Masri (dua dari kiri) ketika mengadakan rundingan bersama penghuni Depoh Tahanan Imigresen Kota Kinabalu ekoran kejadian rusuhan di depoh berkenaan hari ini. -Foto IHSAN PEMBACA

KOTA KINABALU – Hampir 400 penghuni Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Kota Kinabalu hari ini merusuh ekoran tidak berpuas hati proses penghantaran pulang ke negara asal yang tertangguh.

Bagaimanapun, semua penghuni yang dipercayai warganegara Filipina terbabit hanya mampu meloloskan diri dari lokap tetapi gagal melepasi pagar lokap depoh berkenaan dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Sabah (Operasi) Masri Adul berkata, siasatan awal menunjukkan kejadian bermula dari blok yang menempatkan tahanan wanita.

“Sekumpulan tahanan wanita itu mengaku terlalu tertekan dan meminta supaya mereka segera dihantar pulang ke negara asal dan provokasi berkenaan kemudiannya didengari blok tahanan lelaki sehingga mencetuskan rusuhan kecil.

“Penghuni tiga blok lelaki itu berjaya merosakkan kunci mangga pintu lokap sebelum keluar ke kawasan lokap,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Masri berkata, pihak DTI terus menghubungi polis dan ibu pejabat imigresen negeri bagi mendapatkan bantuan sebaik menyedari kejadian berkenaan.

“Rusuhan kecil terbabit berjaya dikawal dan rundingan terus dijalankan oleh saya sendiri bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah.

“Menerusi rundingan itu, kita menjelaskan penghantaran balik ditangguhkan atas permintaan pihak Kedutaan Filipina sendiri berikutan beberapa perkara termasuklah faktor penularan pandemik Covid-19,” katanya memaklumkan rundingan berlanjutan sehingga hampir sejam sebelum semua tahanan terbabit setuju dan kembali ke lokap masing-masing. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI