PUTRAJAYA: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bakal menamatkan vaksinasi secara ‘walk-in’ atau jumpa terus di Lembah Klang bermula 16 September ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ia susulan trend penurunan vaksinasi ketika ini disebabkan sebahagian besar penduduknya sudah diimunisasi.
“Saya ingin mengumumkan bahawa program vaksinasi secara ‘walk-in’ di Lembah Klang akan dihentikan terus selepas 15 September ini,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis serah terima tugas secara rasmi dengan penyandang sebelumnya, Khairy Jamaluddin yang sudah bertukar portfolio sebagai Menteri Kesihatan baharu.
PICK dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Februari lalu dengan sejumlah 672 buah Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) diwujudkan di seluruh negara.
Setakat lewat tengah malam semalam, Lembah Klang merekodkan 69.6 peratus populasi dewasa yang sudah pun lengkap dua dos manakala 88.9 peratus lagi sudah menerima satu dos. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929