LUMUT – Cubaan 13 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk memasuki Malaysia menerusi perairan Johor selatan awal malam tadi berjaya digagalkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM dalam satu kenyataan memberitahu, bot yang dalam keadaan mencurigakan itu dikesan Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (Swasla) dari arah Pulau Batam, Indonesia dan disyaki menuju ke perairan Teluk Ramunia, Johor kira-kira pukul 9.30 malam.
“Berikutan itu, pusat kawalan Johor telah menyalurkan maklumat pencerobohan kepada kapal KD Ganyang yang berada di perairan tersebut untuk tindakan lanjut.
“KD Ganyang seterusnya mengkoordinasikan aset TLDM iaitu FCB 1123 dan bot pemintas RHIB Santi serta aset Maritim Malaysia (APMM) iaitu Perkasa 30 bagi memintas bot tersebut,” ujar kenyataan itu.
Menyedari kehadiran bot-bot TLDM dan APMM, bot yang membawa 13 lelaki berusia antara 30 hingga 40 tahun itu cuba lolos namun hasil kecekapan dan tindak balas kedua-dua pasukan berjaya mengagalkan cubaan tersebut dan dipintas kira-kira empat batu nautika selatan Teluk Ramunia.
Menurut kenyataan itu, semua PATI yang diberkas dibawa ke Jeti Maritim Pengerang dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis di Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk saringan Covid-19 dan siasatan lanjut.
“Kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh kesemua agensi terlibat memastikan setiap cubaan menceroboh akan diberkas, atau berpatah balik sama ada di laut atau di darat.
“TLDM bersama agensi penguatkuasa maritim yang lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara sepanjang masa,” ujar kenyataan tersebut. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929