fbpx

Tidak boleh komen perbicaraan yang sedang berlangsung – mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurul Hidayah

KUALA LUMPUR – Orang ramai termasuk anak perempuan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diingatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang komen dalam laman sosial berkaitan perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri yang kini didengar di Mahkamah Tinggi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika menegur Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, 42, menyatakan, sebarang ulasan yang bersifat `sub-judice’ tidak sepatutnya dibuat pada peringkat ini kerana perbicaraan masih berlangsung dan belum diputuskan oleh mahkamah.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran membangkitkan isu hantaran yang dibuat oleh pemilik akaun Instagram atas nama nurul.zahid menyentuh isu imuniti yang dihujahkan oleh pihak pembelaan, Isnin lalu.

Menurut Raja Rozela, komen tersebut yang dikeluarkan semalam adalah tidak berasas dan memprejudiskan pihak pendakwaan dan prosiding yang sedang berlangsung.

Hujah beliau, pemilik akaun tersebut memperlekeh-lekehkan undang-undang kerana isu imuniti yang disentuhnya masih dalam pertimbangan mahkamah dan belum diputuskan.

Ujar Raja Rozela, tindakan pemilik akaun tersebut adalah bersifat `sub-judice’ dan mahkamah perlu menghalang beliau dan pihak-pihak lain daripada mengeluarkan sebarang ulasan berkaitan kes pada bila-bila masa.

“Pada ketika ini, pihak pendakwaan tidak menerima arahan untuk mengemukakan permohonan agar tindakan menghina mahkamah dikenakan terhadapnya, namun memadai agar orang awam diberi peringatan supaya tidak mengeluarkan sebarang komen,” ujar beliau.

Sementara itu, peguam Hamidi Mohd. Noh yang mewakili Ahmad Zahid memohon maaf kepada mahkamah dan memberi jaminan untuk memaklumkan kepada Nurulhidayah agar memadam hantaran tersebut jika mahkamah menghendakinya berbuat demikian.

Dalam pada itu, semakan yang dijalankan terhadap laman Instagram milik Nurulhidayah menunjukkan pemilik akaun itu menyatakan permohonan maaf manakala hantaran tersebut telah dipadam.

Pihak pendakwaan membangkitkan isu berkenaan sebelum mahkamah mendengar penghujahan kes Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan iaitu 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pecah amanah dan lapan rasuah melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI