BANGKOK – Thailand bakal membuka semula lebih banyak destinasi pelancongan popularnya bermula bulan depan susulan peningkatan kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk tempatan yang dapat membantu menarik lebih banyak pelancong luar, lapor akhbar Bangkok Post semalam.
Langkah itu seterusnya diharap dapat memulihkan ekonomi negara itu yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menurut Menteri Pelancongannya, Phiphat Ratchakitprakarn, pembukaan semula Chiang Mai dan pusat peranginan pantai seperti Pattaya, Cha-Am dan Hua Hin bermula 1 Oktober ini akan dilaksanakan selepas inisiatif membawa semula pelancong yang sudah divaksin ke Phuket.
Rancangan itu akan diusulkan kepada Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 untuk diluluskan kemudian.
Selain itu, Bangkok juga merupakan salah satu destinasi dalam perancangan tersebut, namun pembukaan semula bandar raya itu kepada pelancong luar perlu ditangguhkan kepada November ini.
Ini kerana meskipun 70 peratus populasi penduduk ibu negara Thailand itu akan lengkap divaksin menjelang hujung bulan ini, kadar vaksinasi di wilayah berdekatan masih ketinggalan dan dijangka hanya mencapai 70 peratus pada penghujung bulan depan.
Sementara itu, lebih banyak destinasi termasuk Chiang Rai, Koh Chang dan Koh Kood boleh dibuka sepenuhnya untuk pengunjung bermula pertengahan bulan depan. – Agensi