PENYANYI dan juga sosialit terkenal Indonesia, Syahrini mengakui saat ini dia sangat merindui Tanah Suci Mekah dan momen menunaikan ibadah umrah beberapa tahun lalu di sana.
Ujar Syahrini, dia sangat merindui suasana dan rasa tenang ketika berada di Mekah sehingga membuatkan hatinya berasa sedih.
Memetik laporan portal KapanLagi, Syahrini yang tampil dengan imej berhijab sejak Mei lalu kerap berkongsi foto menunjukkan aktivitinya mengaji al-Quran dan mendalami ilmu agama.
Bahkan, Syahrini atau nama sebenarnya Rini Fatimah Zaelani juga mula menitikberatkan soal ibadah terutama berkaitan solat.
Bahkan jika di rumah, penyanyi itu kerap solat berimamkan suaminya, Reino Barack.
Biarpun sudah beberapa kali khatam al-Quran, Syahrini memberitahu dia tidak akan berhenti membaca kitab suci itu untuk menjadi insan lebih baik.
Penampilan terkini Syahrini yang lebih Muslimah itu menerima pujian peminat dan pengikutnya di laman sosial.