fbpx

‘Sudah dua kali kami bantah sebelum ini’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seniman dan aktivis Orang Asli Temuan, Shaq Koyok semasa penyerahan memorendum oleh Wakil-wakil Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) untuk menyerahkan memorendum serta “Poskad Dari Esok” kepada Menteri Besar Selangor berikutan penyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara di hadapan SUK. - ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM- Bantahan terhadap tindakan kerajaan negeri menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) terus memuncak dengan 10 individu daripada 15 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
membuat perhimpunan aman di luar pekarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Malah, penduduk di lima buah kampung berdekatan HSKLU mendakwa bantahan berhubung penyahwartaan hutan telah dilakukan November lalu namun dipandang sepi oleh pihak bertanggungjawab.

Aktivitis Orang Asli, Shaq Koyok, 36, berkata, bantahan itu dibuat ketika sesi pendengaran awam di Pulau Carey, Kuala Langat yang dianjurkan kerajaan negeri, November lalu.

Katanya, sesi tersebut dihadiri sendiri Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian.

“Bantahan kami seperti masuk telinga kiri keluar kanan apabila tiada sebarang maklum balas daripada Loy Sian. Malah, saya bersama beberapa penduduk juga pernah menyerahkan memorandum bantahan sama kepada kerajaan negeri pada Februari lalu.

“Pengumuman Loy Sian dalam sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini sekali lagi mengecewakan kami sebagai penduduk asal di lokasi tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu, memorandum bantahan itu diserahkan kepada Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor, Hidayat Saudi.

Menurut Shaq, keluasan kelulusan penyahwartaan 536.7 hektar HSKLU amat besar dan merugikan penduduk Orang Asli dalam mendapatkan sumber makanan selain dibimbangi memusnahkan keunikan flora dan fauna yang ada di hutan berkenaan.

Tambahnya yang merupakan penduduk di Kampung Orang Asli Pulau Kempas, penwartaan 581.48 hektar beberapa hutan di negeri itu sebagai ganti HSKLU juga dilihat tidak relevan kerana setiap hutan mempunyai keunikan tersendiri.

“Jadi, saya minta kerajaan negeri untuk segera membatalkan penyahwartaan ini kerana terdapat kira-kira 1,200 penduduk Orang Asli Temuan yang tinggal di lima kampung ini dengan hutan menjadi antara jati diri mereka,” tegasnya. -K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI