PETALING JAYA – Walaupun dihujani dengan kecaman dan kata-kata kesat daripada orang ramai, penyanyi rap sensasi Caprice mengakui dirinya tidak terkesan dengan segala tohmahan yang dilemparkan terhadapnya selama ini.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 33, memberitahu hal tersebut sekaligus menjawab pertanyaan seorang netizen adakah dia terasa hati kerana sering dimaki oleh netizen.
“Alhamdulillah, saya tak terasa langsung dan saya fikir semakin lama orang nampak apa yang kita buat dan kebenaran terbongkar secara perlahan-lahan, mereka pasti akan berhenti bercakap,” katanya ringkas.
Dalam hantaran lain, dia juga menjawab satu soalan mengenai ramai selebriti tanah air yang sering mengecamnya sejak akhir-akhir ini.
“Caprice kenapa ramai sangat artis Malaysia yang asyik kecam awak,” tanya seorang pengikut Instagramnya.
Jawab Caprice, isunya yang sedang ‘panas’ antara sebab namanya menjadi bualan ramai selebriti tanah air ketika ini.
“Mereka tengah sendu dan saya pula sedang ‘panas’. Jadi, bila sebut nama saya, tontonan Instagram mereka akan meningkat sikit dan kemudian barulah dapat produk reviu,” ujarnya.
Kosmo! Online malam tadi melaporkan Caprice selamat tiba di tanah air dan kini menjalani tempoh kuarantin di sebuah hotel di ibu negara.
Terdahulu, Caprice tiba di Mesir pada 24 Jun bagi menyertai misi bantuan ke Gaza sebelum meneruskan penggembaraan solo ke Jordan kerana isu yang tidak dijelaskan secara terperinci.
Biarpun tidak dapat memasuki Palestin, dia tetap enggan pulang ke Malaysia malah meneruskan pelbagai aktiviti meluaskan jaringan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaaan di Mesir dan Jordan sepanjang bergerak solo.
Selain soal birokrasi dan kegagalan memasuki Palestin, nama Caprice turut menggelegak apabila diminta memberi keterangan kepada polis berhubung isu fitnah dan kes gangguan seksual melibatkan penceramah terkenal, Ebit Lew.
Sebelum berangkat pulang ke tanah air, Caprice juga sempat dikecam bukan menjayakan misi jihad ketika meneruskan kembara solo di Jordan sebaliknya demi rakaman dan pembikinan video muzik yang dikongsikan menerusi Instagramnya.
Caprice bagaimanapun tidak menjelaskan sebarang perincian mengenai video muzik yang tertulis perkataan ‘Tiger AlQuds’ dan ‘10.10.21’ tersebut. – K! ONLINE