PETALING JAYA – “Vaksin ke tak vaksin ke saya tetap tak boleh berlakon kerana akan berlepas ke Amerika Syarikat (AS) Sabtu ini”.
Itu respons ringkas pelakon sensasi Lana Nodin susulan tidak akan dibenarkan untuk memasuki set penggambaran drama Kekasih Hati Mr. Bodyguard kerana belum menerima sebarang vaksin Covid-19.
Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nordin ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, sebenarnya wujud salah faham yang akhirnya mengelirukan netizen.
“Sebenarnya pihak produksi nak sambung lagi 13 episod bagi musim terbaharu selepas sudah diberi kebenaran melakukan penggambaran.
“Awal-awal lagi mereka sudah tanya dan berbincang dengan saya mengenai perkara itu, tetapi saya memang tak dapat nak sertai disebabkan akan balik ke negara suami hujung minggu ini.
“Bukan sebab saya belum vaksin. Jadi saya memang terpaksa tolak tawaran tersebut dan mereka kini sedang mencari pelakon lain yang sesuai bagi menggantikan watak antagonis yang saya bawakan sebelum ini,” katanya.
Menjawab persoalan ramai mengenai dirinya yang bersikap anti vaksin, Lana menegaskan dia bukan seperti itu dan tetap akan mengambilnya tidak lama lagi.
“Saya bukan tak nak ambil, tetapi anak saya ada masalah kesihatan, dia sakit jantung sejak lahir. Saya pula masih menyusukan dia sampai November nanti.
“Saya pun ada surat daripada doktor dan bukan suka-suka ingin menolak vaksin. Nyawa anak saya lebih penting dan jadi keutamaan sekarang ni,” ujarnya.
Tambah pelakon Aku Yang Kau Gelar Isteri itu, dia tetap akan mengambil vaksin tetapi bukan di Malaysia dan tidak dalam masa terdekat ini.
“Saya akan ambil di AS nanti bersama suami. Tunggulah mungkin awal tahun depan ke. Bukan tak nak ambil langsung. Benda nak masuk dalam badan dan saya kena pastikan betul-betul selamat digunakan serta melepasi ujian klinikal.
“Saya ada sebab tersendiri kenapa tak nak ambil vaksin ketika ini. Itu hak peribadi dan hak asasi saya sebagai rakyat. Tiada siapa boleh paksa,” katanya.
Terdahulu, nama Lana menjadi buah mulut netizen dan hangat diperkatakan kerana mengkritik Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Dia turut dituduh sebagai anti vaksin dan cuba menghasut orang lain dengan mempersoalkan keberkesanan vaksin Covid tersebut. – K! ONLINE