KOTA TINGGI – Seorang penyelia kontrak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu rakan sekerja dengan mengatakan ahli keluarganya meninggal dunia akibat Covid-19 untuk mendapatkan derma di Kompleks Bersepadu Pengerang, Jumaat lalu.
Tertuduh, Mohd. Zahazan Zainon, 45, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat.
Tertuduh bertempat di pejabat bahagian keselamatan Kompleks Bersepadu Pengerang pada pukul 5.20 petang, 3 September lalu dengan niat menipu rakan sekerjanya.
Tertuduh memperdaya mangsa dengan memberitahu ahli keluarganya maut akibat Covid-19 sedangkan ia tidak benar sehingga mendorong mangsa memasukkan wang RM7,857 ke akaun bank tertuduh sebagai sumbangan derma.
Berita berkaitan: Polis siasat kes tular kematian 14 ahli keluarga kerana Covid-19
Berita berkaitan: Petronas nafi staf kontraktor hilang 14 ahli keluarga akibat Covid-19
Tertuduh juga didakwa memperdaya seorang lagi rakan sekerja pada pukul 6.34 petang, hari sama di lokasi yang sama dengan mengatakan hal sama sehingga mendorong mangsa memasukkan wang RM500 ke akaun bank tertuduh.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak lebih 10 tahun dan denda.
Normadiana menjatuhi hukuman penjara tiga tahun bermula dari tarikh tangkapan, denda RM15,000 jika tidak bayar penjara lima bulan dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama.
Bagi pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhi hukuman setahun penjara, denda RM1,000 jika gagal bayar boleh dipenjara sebulan dan satu sebatan.
Kedua-dua hukuman penjara itu diarahkan berjalan serentak.
Terdahulu, suspek ditahan selepas disyaki menyebarkan berita palsu kononnya kehilangan 14 ahli keluarga akibat Covid-19 didapati meraih sumbangan sejumlah RM91,000. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929