IPOH – Semua pasar malam di bawah seliaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Gerbang Malam dibenarkan beroperasi mulai 15 September ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kebenaran itu bagaimana pun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurut beliau, hanya pelanggan dengan status vaksinasi lengkap yang dibenarkan masuk dan mereka perlu menunjukkan Sijil Digital Vaksinasi Covid-19 sebagai bukti kepada petugas ada pintu masuk.
“Waktu operasi bermula pukul 6 petang hingga 10 malam tetapi tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
“Kebenaran diberikan kepada peniaga makanan, minuman dan barangan keperluan, manakala jualan pakaian pula tidak dibenarkan untuk mencuba atau fitting,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Hanya dua orang daripada satu keluarga sahaja dibenarkan dengan had umur melebihi 13 tahun manakala tempoh pelanggan berada dalam zon pasar malam pula adalah 20 minit sahaja.
Aliran pergerakan pengunjung pula adalah sehala dan tidak boleh berpatah balik kecuali di lokasi-lokasi dibenarkan dengan kawalan penganjur.
Jualan buah-buahan dibenarkan termasuk buah-buahan bermusim cuma tidak dibenarkan makan di gerai.
Ujar Rumaizi, peniaga dan pelanggan perlu mematuhi SOP sedia ada termasuk mendaftar masuk melalui buku pendaftaran atau melalui aplikasi MySejahtera, menggunakan pelitup muka dan sanitasi tangan.
“Golongan berisiko seperti wanita hamil, kanak-kanak bawah 12 tahun, warga emas berusia 60 tahun ke atas serta mereka yang mempunyai gejalan demam dan batuk tidak dibenarkan bagi mengelak risiko jangkitan.
“Hanya tiga orang pelanggan sahaja dibenarkan pada satu-satu masa di gerai,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929