PETALING JAYA – Seniwati terkenal Fauziah Nawi menyelar keangkuhan dan sikap tidak bertanggungjawab penggiat seni yang bangga meneruskan penggambaran walaupun tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Fauziah ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, mereka benar-benar angkuh dan hanya mementingkan diri sendiri serta langsung tidak memikirkan nasib orang lain.
“Saya memang sedih dan terkilan dengan tindakan mereka ini. Langsung tidak fikir dan kasihan akan orang lain. Betul-betul tidak boleh diterima akal.
“Apa yang membuatkan saya bertambah marah dan emosi, sikap mereka ini jugalah yang akan menyebabkan kerajaan menarik balik kelonggaran penggambaran buat anak seni yang baru dibenarkan semalam.
“Sebelum kelonggaran diberikan pun, ada saja puak-puak sebegini yang curi-curi berlakon dan ambil kesempatan yang akhirnya menyusahkan semua orang,” katanya.
Tambah bintang senior yang juga aktivis teater itu, dia tidak kisah seandainya tindakan kurang bijak penerbit dan pelakon terbabit tidak melibatkan periuk nasi anak seni lain sepertinya.
“Kita punyalah jaga SOP, ambil vaksin penuh dan sentiasa buat ujian calitan tiap kali nak berlakon atau apa saja berkaitan aktiviti seni.
“Sebelum ini berbulan-bulan tidak boleh bekerja dan cari rezeki, kamu semua bising dan rasa dikhianati sebab tak ada pendapatan, bila dah dibenarkan buat hal pula,” ujarnya.
Terdahulu, Fauziah menerusi hantaran dalam Instagramnya meluahkan rasa kesal dengan sikap dan tindakan penggiat seni yang sombong dan tetap meneruskan penggambaran walaupun belum divaksin.
“Alhamdulillah, kita dah boleh menjalankan penggambaran semula dan tetap mengikut SOP, yang sudah divaksin baru boleh kembali bekerja.
“Tetapi ada pula menunjukkan lagak sangat kan, kononnya walau tak vaksin, tetap boleh buat penggambaran dan jangan cemburu. Memang kita tahu ini rezeki Allah, tetapi boleh tak jangan cakap. Diam-diam sudahlah.
“Tiada siapa cakap pun cemburu. Nanti kerana kau, orang lain susah! Jika Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara serta Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) tahu macam mana? Orang lain jadi susah tahu,” katanya.
Menerusi hantaran sama, Fauziah berpendapat, sikap mereka semua dikhuatiri menutup semula periuk nasi penggiat seni lain yang baru sahaja hendak menarik nafas lega sementelah diberi kelonggaran tersebut.
Semalam, penggiat seni tanah air kembali menarik nafas lega selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju melonggarkan SOP Fasa 1 bagi industri kreatif.
Kerajaan melonggarkan SOP Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi industri kreatif berkuat kuasa esok dan persetujuan tersebut tertakluk kepada penggiat dan pekerja seni yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin. – K! ONLINE