IPOH – Pembukaan Pulau Pangkor kepada pengunjung terpaksa ditangguhkan berikutan lokasi peranginan tersebut masih belum bersedia bagi Program Destinasi Bebas Covid-19 Fasa 2 Pelan Pemulihan Pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan bersama Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad semalam.
Menurut beliau, ketika ini proses vaksinasi pada penduduk di pulau berkenaan berjalan lancar dan telah pun hampir mencapai 100 peratus.
“Bagaimana pun, Pulau Pangkor masih lagi belum mencapai imuniti kelompok.
“Selewat-lewatnya kita menjangkakan perkara ini boleh dicapai pada akhir September,” katanya pada sidang akhbar Simposium Muzik Ipoh 2021 yang diadakan secara dalam talian di sini sebentar tadi.
Simposoium secara maya anjuran Port Ipoh yang akan dilangsungkan pada 2 Oktober depan dengan tema Muzik Nusantara: Menelusuri Tradisi dan Kontemporari menggabungkan seniman tanahair dan negara jiran Indonesia.
Sebelum ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengumumkan Pulau Pangkor dipilih destinasi bebas Covid-19 bagi fasa kedua dengan jangkaan penduduk pulau tersebut mencapai imuniti kelompok awal bulan depan.
Bagi mencapai hasrat itu, sekurang-kurangnya 8,026 penduduk layak untuk menerima vaksin daripada jumlah keseluruhan 11,500 populasi yang diunjurkan di pulau peranginan itu.
Dalam pada itu, Nolee Ashilin berkata, kerajaan negeri Perak mengalu-alukan pada mana-mana penggiat seni dan industri kreatif yang ingin mengadakan persembahan berikutan kelonggaran yang diumumkan kerajaan semalam.
Ujarnya, tiada sebarang halangan dikenakan bagi tujuan tersebut tetapi hendaklah dilaksanakan mengikut pematuhan (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kita tidak ada mengenakan sebarang syarat tambahan atau mengetatkan SOP, cuma hendaklah ikut apa yang diputuskan kerajaan.
“Jadi jika ada mana-mana penggiat seni dan kreatif ingin mengadakan persembahan di Perak kita sangat alu-alukan,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929