TEMERLOH – Penternak ikan patin yang terjejas akibat kekurangan permintaan ikan sungai berkenaan susulan pandemik Covid-19 boleh menarik nafas lega apabila Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tampil membantu mengatasi masalah itu.
Menurut kenyataan LKIM, sebagai langkah segera pengusaha ikan patin yang terjejas boleh menghantar ikan ke Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan Air Tawar (CCDC) di kawasan masing-masing untuk proses sejuk beku bagi memastikan ikan berkenaan tidak rosak sebelum dipasarkan.
“Bilik sejuk atau pusat CCDC ini membolehkan isu lambakan ikan di negeri Pahang terutamanya disimpan secara sejuk beku dan akan dikeluarkan apabila diperlukan atau sewaktu musim ikan tidak mencukupi terutama sewaktu musim tengkujuh.
“LKIM dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sentiasa peka dan prihatin akan segala permasalahan yang berlaku dan akan terus komited untuk membantu kumpulan sasar samada masyarakat nelayan mahupun para penjual ikan di seluruh Malaysia,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan ramai penternak ikan patin sangkar di Temerloh yang terkenal dengan ikan patin pening kepala memikirkan cara untuk mencari pelanggan ekoran kurang permintaan daripada pengusaha restoran sedangkan bekalan ikan itu semakin berlambak.
Akibat banyak kedai makan yang tidak beroperasi sepenuhnya menyaksikan ada penternak yang biasanya mampu menjual purata 200 ekor sehari kini hanya mampu menjual 20 ekor ikan patin sehari.
Menurut kenyataan itu pada pasa ini terdapat 27 Pusat CCDC LKIM di seluruh negeri iaitu sebanyak 12 buah di Temerloh, Pekan (4), Kuantan (2), Bera (6), Maran (2) dan satu di Bentong.
Dalam pada itu katanya, dalam usaha membantu memasarkan ikan patin, LKIM dengan kerjasama Persatuan Nelayan Negeri Pahang dan Persatuan Nelayan Kawasan telah megambil inisiatif melaksanakan jualan ikan segar dan ikan segar beku melalui medium atas talian dan penghantaran pesanan ke lokasi pelanggan secara bayaran secara penghantaran (COD).
Katanya dalam masa sama LKIM sedang menguruskan padanan pasaran di antara pembeli dan penternak yang terlibat untuk mendapatkan bekalan secara terus dari penternak yang terjejas.
Sementara itu, katanya Pahang merupakan pengeluar ikan patin terbesar negara dengan jumlah keluaran sebanyak 422 tan metrik setahun dengan mencatatkan nilai jualan RM7.174 juta pada 2020.
Katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan pengeluaran ikan patin di negeri itu terjejas selepas pembeli khususnya pemborong tidak dapat membeli pada kadar biasa seperti sebelum ini.
“Walaupun Pelan Pemulihan Negara telah dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara bermula 15 Jun lalu, tinjauan LKIM mendapati aktiviti perikananmasih mengalami ganggunan ketara mungkin disebabkan oleh pergerakan orang ramai yang masih terbatas dan juga kuasa membeli yang semakin berkurangan,”ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929