BAGAN SERAI – Seorang lelaki Rohingya maut setelah motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer (KM) 12 Jalan Siakap di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira -kira pukul 10 malam itu, mangsa yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, mangsa, Samsul Alam Harun,36, menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dalam perjalanan dari Taman Serai Jaya menuju ke Bagan Serai.
“Setibanya di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai telah terlanggar bahagian tayar belakang sebelah kiri treler tersebut.
“Ketika itu treler 14 tayar jenis Nissan CK45BT yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 50-an sedang dalam keadaan mengundur untuk keluar dari simpang di sebelah kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kata Mazuki Mat, pelanggaran itu menyebabkan mangsa parah dan disahkan maut di lokasi kejadian oleh anggota perubatan yang melakukan pemeriksaan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929