KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan kerana Ahli Parlimen Bagan itu menjalani kuarantin kendiri selepas menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.
Perkara itu dimaklumkan peguam Gobindh Singh Deo pada prosiding sambung bicara kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.
Menurut peguam itu, anak guamnya telah menjalani kurantin bermula 1 September lalu hingga 10 September ini.
“Saya memohon penangguhan bagi perbicaraan yang sepatutnya berlangsung pada hari ini sehingga 10 September. Kami memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi,” katanya.
Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak membantah permohonan pihak pembelaan tersebut.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 hingga 24 September ini bagi sambung bicara kes seperti yang telah dijadualkan sebelum ini.
Mengikut jadual perbicaraan, kes itu sepatutnya berlangsung pada hari ini sehingga Jumaat namun disebabkan situasi tertuduh sekarang, tarikh-tarikh tersebut telah dilapangkan.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 61, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa semasa menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang telah meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan tersebut dilantik untuk projek sama.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara pukul 12.30 pagi hingga 2 pagi, mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Bagan itu juga didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.
Dalam perbicaraan itu 125 saksi pendakwaan termasuk beberapa Exco dari negeri Pulau Pinang dijangka akan dipanggil memberi keterangan. K! – ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929