fbpx

Kerjaya perlu diteruskan, saya beri semampu daya untuk industri – Aizat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANPA promosi menggila, lagu baharu Aizat berjudul The Last Thing tetap mendapat sambutan memberangsangkan daripada pendengar.

PETALING JAYA – Tanpa promosi mencanak berikutan pandemik Covid-19, lagu Aizat Amdan yang didedikasikan untuk pasaran antarabangsa, The Last Thing, nyata mampu meraih hampir satu juta tontonan dalam tempoh tiga bulan dilancarkan.

Aizat yang menggunakan nama AI.Z untuk pasaran luar negara berkata, penerimaan terhadap lagu ciptaan bersama Yuna tersebut menguatkan semangatnya meneroka arena muzik luar negara walau berdepan pandangan skeptikal segelintir individu.

“Alhamdulillah, sejak dilancarkan pada pertengahan Jun lalu sambutan terhadap The Last Thing sangat memberangsangkan dengan jumlah lebih 500,000 streaming, manakala dalam YouTube pula mencecah 200,000 tontonan.

“Dalam keadaan dunia berdepan situasi sulit susulan pandemik Covid-19, promosi atau perancangan jelajah terpaksa ditangguhkan dulu.

“Apa pun, penerimaan awal pendengar terhadap lagu ini sudah cukup menyuntik semangat untuk saya merencanakan pelbagai perancangan seterusnya andai keadaan semasa kembali reda.

“Macam biasa, ada yang berfikiran positif dan tidak kurang yang anggap projek ini main-main atau saya dipaksa. Saya enggan ambil pusing, sebaliknya fokus saja dengan kerjaya, banggakan nama Malaysia dan keluarga,” katanya kepada Kosmo! Online.

Terdahulu, lagu Inggeris penyanyi berusia 32 tahun itu diperdengarkan kepada khalayak dalam program kelolaan Zane Lowe dalam Apple Music, sehari lebih awal daripada tarikh pelancaran.

DJ popular asal New Zealand itu tidak ketinggalan memuji santunan irama dan seni kata lagu debut antarabangsa penyanyi merangkap komposer tersebut yang disifatkan mempunyai keistimewaan tersendiri.

The Last Thing bergenre moden R&B yang berkisar perasaan galau selepas perpisahan dengan kekasih menerusi bait lirik antaranya ‘I see you on Instagram/ Living your life, oh I wish you well/ No make-up, perfect, baby you’re worth it.’

Kongsi Aizat lagi mengenai debut yang turut meraih sokongan Yuna Room Records tersebut, segala dugaan berkaitan pandemik dilihat secara positif dan mempunyai hikmah.

Akuinya, buat masa ini dia dalam persediaan menerbitkan single baharu yang dijangka dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Dalam situasi sekarang sememangnya semua orang melalui kesulitan, bukan saya sahaja jadi kita semua kena banyak bersabar.

“Hidup dan kerjaya perlu diteruskan. Apa pun cabaran yang mendatang, saya akan tetap menyumbang seberapa daya untuk industri muzik kita,” katanya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI