PENYERANG Selangor FC, Ifedayo Omosuyi mengakui bagaikan tidak percaya apabila mengharungi musim terbaik peribadinya sejak berkelana di Malaysia selepas berjaya meledak 25 jaringan dalam kempen Liga Super musim ini.
Ifedayo yang telah bersama skuad Gergasi Merah sejak 2019 berjaya memecahkan rekod selaku penjaring terbanyak sepanjang sejarah penganjuran Liga Super yang sebelum ini dilakukan oleh Mohammed Ghaddar yang meledak 23 gol bersama Kelantan dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim 2017.
Penyerang kelahiran Nigeria itu mengakui, kejayaan tersebut dedikasikan buat rakan-rakan sepasukan selain sokongan yang tidak berbelah peminat Selangor yang sentiasa di belakangnya pada setiap masa.
Bekas penyerang Felda United dan Melaka United ini turut mengakui cukup yakin bagi mendapatkan 25 angka jaringan selepas berjaya menghasilkan 12 jaringan daripada 11 perlawanan musim lalu.
“Perasaan dapat menjadi pemain pertama pecahkan rekod jaringan ini sukar untuk saya gambarkan, saya mahu berikan penghargaan khas kepada rakan sepasukan kerana ini adalah usaha bersama.
“Begitu juga dengan peminat Selangor yang sentiasa menyokong saya, biarpun ada hari saya tidak menjadi dan saya mahu jelaskan di sini, kami semua yang memecahkan rekod ini, bukannya saya.
“Musim lalu saya menjaringkan 12 gol daripada 11 perlawanan dan secara purata keseluruhannya seperti 24 gol jika dijalankan secara dua pusingan.
“Jadi sejak permulaan musim ini, saya telah meletakkan sasaran untuk cuba mengatasi rekod jaringan itu dan saya gembira mampu melakukannya dengan angka 25 jaringan setakat ini, ” katanya
Bagaimanapun, Ifedayo mengakui masih ada satu lagi perlawanan Liga Super yang perlu diharungi sebelum memikirkan mengenai Anugerah Penjaring Terbanyak Liga Super pada musim ini.
Ini kerana pemburuan Kasut Emas musim ini masih terbuka apabila penyerang JDT, Bergson da Silva berpeluang untuk memintas apabila berjaya meledak 23 gol ketika ini.