PASUKAN Kedah Darul Aman (KDA FC) mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk kembali berada di landasan kemenangan menjelang pertemuan menentang UiTM FC di Stadium Darul Aman malam ini.
Sebagai rekod, momentum skuad Helang Merah yang memburu gelaran naib juara Liga Super musim ini tersekat apabila gagal meraih kemenangan pada dua perlawanan terakhir termasuk tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur City (KL City), Sabtu lalu.
Ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak mengakui, peluang pasukannya untuk merampas kedudukan kedua liga tetap terbuka, tetapi dalam masa sama perlu memanfaatkan baki dua perlawanan terakhir dengan meletakkan sasaran mengutip mata penuh.
“Kami masih memiliki kelebihan baki dua perlawanan liga berbanding pasukan lain yang hanya tinggal satu aksi sahaja lagi. Lebih penting apabila kedua-dua perlawanan ini dilangsungkan di tempat sendiri.
“Justeru, saya percaya pasukan dapat kembali berada di landasan kemenangan, sekali gus memperbaiki prestasi selepas gagal mendapat keputusan yang diharapkan pada dua perlawanan lepas.
“Kita tidak boleh mengharap bantuan daripada pasukan luar kerana nasib untuk meraih tempat kedua masih berada di tangan sendiri, tetapi dengan syarat perlu menang dua baki perlawanan ini,” katanya.
Sebanyak tiga pasukan yang berpotensi untuk menamatkan saingan di kedudukan kedua Liga Super musim ini iaitu Penang FC (40 mata), KDA FC (39 mata), dan Terengganu FC (TFC)(37 mata).
Bagaimanapun, Penang FC dan TFC hanya memiliki baki satu perlawanan manakala KDA FC hanya mengharungi 20 aksi Liga Super ketika ini.