WARSAW – Pengurus England, Gareth Southgate menggesa barisan pemainnya agar tidak hanya memberikan perhatian kepada Robert Lewandowski menjelang pertembungan getir kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Poland di Stadium Narodowy awal pagi esok.
Southgate menjelaskan, Lewandowski adalah seorang penyerang berbahaya yang kini berada pada tahap terbaik selepas meledak dua gol sewaktu Poland membelasah San Marino 7-1 kelmarin.
Bagaimanapun, pengendali berusia 51 tahun itu menegaskan, Poland kini tidak lagi tertumpu kepada Lewandowski sejak di bawah bimbingan Paulo Sousa dan ia terbukti menerusi kejayaan Adam Buksa meledak hatrik ke atas San Marino.
“Anda perlu ingat Poland menentang kami di Wembley tanpa Lewandowski. Mereka nampak yakin walaupun tewas. Kemenangan kami ketika itu diperoleh pada lewat permainan.
“Sudah tentu mana-mana pasukan akan merasai kehilangan pemain utama sama seperti kami kalau beraksi tanpa Harry (Kane) atau Raheem (Sterling).
“Sebab itu saya beritahu kami tidak boleh terlalu menumpukan sepenuh perhatian kepada Lewandowski. Sebaliknya, kami perlu menghormati semua pemain mereka dan bersedia berdepan cabaran Poland,” kata Southgate.
Dalam masa sama, Southgate percaya anak-anak buahnya mampu meneruskan momentum cemerlang ketika ini selepas terdahulu menewaskan Hungary 4-0 sebelum mengulangi keputusan sama ke atas Andorra kelmarin.
Empat gol The Three Lions ke atas Andorra kelmarin berjaya diperoleh menerusi dua jaringan Jesse Lingard dan masing-masing satu daripada Kane serta Bukayo Saka. – AGENSI