PENYANYI popular Korea Selatan, Jessi membuka rahsia hati sehingga membuatkan ramai tersentuh ketika muncul dalam program The Sixth Sense 2 baru-baru ini.
Luah pelantun lagu Nunu Nana itu, dia benar-benar menginginkan anak dan jika boleh mahu mempunyai tiga orang anak pada masa depan.
Perkara berkenaan diluahkan Jessi apabila dia memilih dua warna iaitu jingga dan batu karang dalam satu segmen program berkenaan.
Pakar psikologis yang dijemput pula menjelaskan, pilihan warna batu karang melambangkan kasih sayang seorang ibu.
“Dalaman Jessi sangat cantik. Dia sangat suka mengambil berat tentang orang lain dan ada sisi feminin. Jika berkahwin, dia akan menjaga anak-anaknya dengan baik,” ujar psikologi tersebut.
Mendengar kata-kata sedemikian, Jessi terus meluahkan impian tentang anak dan cita-cita menjadi seorang ibu yang baik.
“Sepanjang dalam industri, saya banyak buat duit dan jadi popular.
“Tapi akhirnya saya sedar semua itu tidak memberi apa-apa makna. Saya tidak gembira sebab apa yang saya mahukan adalah sebuah keluarga,” ujarnya sambil menangis.