Pemandangan kedai makan dan premis-premis perniagaan lain yang mula dikunjungi pelanggan sedikit sebanyak menghidupkan kembali suasana seperti sebelum dunia dilanda Covid-19 malah peniaga juga sudah pastinya menghembus nafas lega.
Namun dalam kita menikmati kelonggaran terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan kerajaan Ogos lalu, harus diingat bahawa peluang untuk bebas bergerak itu bukan bermaksud kita kebal daripada ancaman musuh yang tidak dapat dilihat.
Negara mencatatkan ribuan kes positif harian serta jumlah kematian mencecah 18,000 yang menunjukkan bahawa setiap daripada kita berpotensi menjadi mangsa seterusnya, jadi janganlah kita alpa atau terlalu bergembira sehingga lupa risiko itu tetap ada.
Seorang pengusaha kedai makan, Muhd. Ikhwan Muhd. Nordin, 33, yang kini membenarkan pelanggan untuk dine-in di premis nasi berlauknya di Kajang, Selangor turut menyatakan kebimbangannya dengan ancaman Covid-19.
“Walaupun kami juga telah lengkap dua dos vaksin, perasaan bimbang itu tetap ada kerana kita tahu vaksinasi bukanlah 100 peratus menjadikan kita kebal daripada virus berkenaan.
“Apa yang boleh kami lakukan adalah mengamalkan penjarakan fizikal serta kerap basuh tangan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelas Muhd. Ikhwan, ada pelanggan yang datang ke premisnya dilihat seperti tidak lagi kisahkan segala SOP yang ditetapkan sebaik melangkah masuk ke dalam premis, lebih-lebih lagi selepas pelitup muka dibuka ketika bersedia untuk menjamu selera.
Muhd. Ikhwan memaklumkan, seringkali kelihatan pelanggan yang bergurau senda mengabaikan SOP, saling bersentuhan termasuk tidak mengamalkan penjarakan fizikal.
Tindakan sebegini sedikit sebanyak membangkitkan kebimbangan dalam hati para peniaga yang cuba sedaya upaya memastikan premis mereka bebas daripada ancaman Covid-19 selain risiko dikenakan tindakan undang-undang.
Pelanggan yang ingin dine-in harus bertimbang rasa dengan situasi peniaga yang tersepit apabila sudah lama tidak boleh beroperasi seperti biasa dan setelah dibenarkan menerima pelanggan, berisiko pula dikenakan tindakan undang-undang apabila berlaku pelanggaran SOP.
Senior Asisten Komisioner (SAC) Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, SAC M. V. Srikumar M. Nair berkata, polis akan berterusan melakukan pemantauan terhadap pematuhan SOP tanpa sebarang prejudis.
“Operasi pemantauan dilakukan setiap hari malah dalam sehari jumlah pemeriksaan yang dilakukan boleh mencecah sehingga kira-kira 60,000 premis di seluruh negara.
“Kerajaan tetapkan hanya individu lengkap dua dos vaksin sahaja diberi kelonggaran memasuki premis perniagaan tertentu termasuk makan di restoran jadi peniaga harus bertanggungjawab terhadap setiap pelanggan yang masuk ke premis mereka,” katanya.
Tambah beliau, jika pasukan pemantauan mendapati terdapat sebarang pelanggaran SOP, tindakan tegas akan diambil tanpa teragak-agak termasuk mengeluarkan arahan agar premis berkenaan ditutup.
Sehubungan itu, pelanggan diseru agar tidak terlalu leka dengan kelonggaran SOP yang diberikan kerana kesannya turut akan ditanggung oleh pemilik premis yang hanya mahu mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan.
Pelanggan harus bijak dan bertimbang rasa lebih-lebih lagi dalam era pandemik yang melanda ketika ini. Jika niat ingin dine-in itu dirasakan mendatangkan lebih mudarat, lebih baik bungkus dan makan sahaja di rumah. Itu lebih selamat berbanding dengan risiko yang menanti.