GEORGE TOWN – Pengguna di negeri ini bersedia untuk memboikot beli ayam segar di pasar awam berikutan harga pasarannya ketika ini dikatakan terlampau mahal sehingga mencecah RM10 sekilogram.
Rata-rata mereka yang ditemui Kosmo! di sini semalam memberitahu harga baharu itu dilihat tidak masuk akal dan nilainya jauh berbeza iaitu RM7.90 sekilogram ketika pelaksanaan Skim Harga Maksimum Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 Mei lalu.
Bukan setakat itu, pengguna juga menyatakan kesediaan mereka membeli ayam segar di pasar raya besar mahupun peruncitan selepas ini biarpun terpaksa beratur panjang dan berdepan kehabisan stok barangan itu.
Seorang pengguna, Suraya Ali, 42, berkata, pengguna mempunyai pilihan tersendiri sebelum melakukan sebarang bentuk pembelian dengan mengikut bajet perbelanjaan harian.
Suri rumah itu menambah, tidak menjadi suatu kesalahan besar sekiranya para pengguna atau pelanggan menolak atau memboikot barangan yang dipasarkan pada harga yang lebih mahal.
“Bayangkan, pembelian dua ekor ayam segar untuk dijadikan hidangan seisi keluarga dalam tempoh lima hari sudah mencecah RM40. Ini belum lagi barangan keperluan harian lain seperti sayur-sayuran dan ikan.
Semalam Kosmo! melaporkan harga ayam segar di pasar-pasar awam di seluruh negara mencatat kenaikan ketara sehingga mencecah RM10 sekilogram sejak minggu lalu.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, Ali Mohd. Rani, 45, yang juga peniaga makanan di daerah Barat Daya pula memberitahu, kenaikan harga ayam yang mencecah RM10 sekilogram turut memberi impak terhadap sumber peniagaannya.
“Sekiranya harga jualan ayam segar itu masih berterusan, saya terpaksa menaikkan harga makanan bagi set hidangan nasi ayam, nasi tomato dan ayam penyet nanti,” ujarnya.
Sementara itu, peniaga ayam segar yang hanya mahu dikenali sebagai Faizal, 45, berkata, dia terpaksa menerima hakikat sekiranya pengguna bertindak memboikot pembelian ayam segar di pasar awam.
“Kami berserah dengan apa jua keputusan pengguna tetapi kami merayu campur tangan pihak kerajaan dalam menyelesaikan isu tersebut segera,” ujarnya.