PETALING JAYA – Demi menjaga keselamatan diri dan keluarga, pelakon Beto Kusyairy menyatakan pendiriannya enggan bekerja dengan mana-mana produksi yang mengambil pelakon dan kru yang tidak divaksin.
“Saya secara peribadi tidak akan terlibat dengan produksi yang mengambil pelakon dan kru yang tidak mahu mengambil vaksin.
“Sebab saya fikirkan keluarga saya yang ada budak kecil dan orang tua di rumah. Bagi saya lebih baik mencegah daripada mengubati. Itu yang saya cuba lakukan selagi mampu,” ujar Beto yang ditemubual secara virtual pada sidang akhbar drama Penghulu Interim sebentar tadi.
Dalam pada itu, Beto atau nama sebenarnya, Nurkusyairy Zakuan Osman turut menyelar tindakan pelakon dan kru yang tidak lengkap vaksinasi tetapi bekerja di set penggambaran seperti biasa sebagai penting diri.
“Saya tahu vaksin adalah hak individu, kita tidak boleh memaksa kerana itu pemahaman dan pendirian masing-masing. Namun, apabila melibatkan kerja secara berkumpulan, saya rasa tidak patut ada sikap penting diri.
“Jika tidak percaya vaksin janganlah sampai menyusahkan orang lain. Walaupun sudah lengkap vaksin, kita masih boleh menjadi pembawa dan melibatkan orang lain puncanya daripada seorang yang mementingkan diri itu. Bagi saya perkara sebegitu tidak adil,” luah Beto.
Beto berkata demikian selepas diminta menggulas berkenaan isu yang dibangkitkan pelakon senior, Fauziah Nawi tentang sebuah produksi yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan mengambil pelakon tidak lengkap vaksinasi.
Terdahulu, pada Selasa lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan penggiat industri kreatif di negeri yang berada di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenar untuk mula bekerja pada 9 September ini dengan syarat harus lengkap dua dos vaksin.
Memegang pendirian yang sama, aktres Nadiya Nissa menyatakan individu yang tidak mahu mengambil vaksin, tetapi mahu bekerja di set penggambaran sebenarnya membahayakan bukan sahaja diri sendiri, tetapi seluruh tenaga produksi.
“Pada saya perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Andai virus tersebar, orang yang tidak divaksin itu lebih berisiko untuk mendapat komplikasi kritikal.
“Penggambaran akan tertangguh dan pihak penerbit terpaksa menanggung kos yang tinggi akibat percutian disebabkan kuarantin. Bukan itu sahaja, jadual pelakon dan tenaga produksi juga akan terganggu. Jadi, apabila rasa terdapat risiko lebih baik dicegah,” ulas Nadiya.
Sementara itu, penerbit drama bersiri Penghulu Interim, Issey Fazlisham yang juga penyampai radio Gegar FM, meluahkan rasa bimbangkan berhubung isu produksi melanggar SOP selepas kerajaan membenarkan penggiat industri kreatif kembali bekerja.
“Saya percaya semua orang mengikuti SOP untuk penggambaran dengan begitu ketat kerana semua orang mahu bekerja. Perkara melanggar SOP seperti ini sepatutnya tidak berlaku.
“Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Saya tidak mahu hanya kerana segelintir yang melanggar SOP, kebenaran untuk industri keratif bekerja ditarik balik,” kata Issey.
Drama Penghulu Interim terbitan Red Beans Productions yang dibintangi oleh Beto Kusyairy, Nadiya Nissa, Roy Azman, Rosli Rahman dan Issey kini sedang hangat disiarkan di Awesome TV, Jumaat sehingga Ahad pada pukul 9 malam. – K! ONLINE