SUNGAI PETANI – Keluarga seorang pelajar Malaysia yang parah selepas dirempuh motosikal ketika melintas jalan di Mesir bercadang untuk menyewa rumah lain bagi memudahkan mangsa dijaga rakan dan dua kakaknya.
Ahmad Kabir Wahab, 60, berkata, rempuhan tersebut telah menyebabkan tulang pinggul anaknya, Muhammad Haikal, 23, retak dan perlu sentiasa berbaring dan diberi perhatian untuk membantu urusan sehariannya.
Katanya, sebelum kejadian, anaknya yang merupakan penuntut tahun 1 Pengajian Usuluddin Universiti Al-Azhar menetap di asrama yang disediakan.
“Saya difahamkan tulang pinggulnya turut retak selepas doktor membuat pemeriksaan di Hospital Bedayat, Hayyu Tahmin di Kaherah dua hari lalu. Jika dia tinggal di asrama, tentu menyukarkan urusan hariannya.
“Jadi saya bercadang untuk menyewa sebuah rumah lagi untuk menempatkan tiga anak saya yang kini berada di sana untuk menjaga Haikal,” katanya ketika ditemui di Taman Ria Indah di sini semalam.
Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Haikal dirempuh motosikal ketika melintas jalan untuk ke sebuah hospital bagi merawat penyakit kulit yang dihadapinya di Kaherah pada pukul 11 malam Jumaat lalu.
Ketika kejadian, dua kakaknya, Zaidah Hasanah, 25, dan Zahidah Husna, 26, serta seorang lagi rakan mereka turut dilanggar namun hanya mengalami kecederaan ringan.
Menurut Ahmad Kabir, dia gembira apabila dimaklumkan keadaan anaknya semakin stabil dan sedang menjalani rawatan susulan di hospital itu.
Tambahnya, dia berasa sedikit lega apabila Zaidah Hasanah dan Zahidah Husna yang menetap di sebuah rumah sewa di Kaherah ada untuk melihat keadaan Muhammad Haikal.
“Zaidah sedang menunggu majlis graduasi yang dijangka pada Disember ini di Al-Azhar, manakala Zahidah sedang meneruskan pengajian talaqqi di beberapa buah masjid di Mesir selepas menamatkan pembelajaran di sebuah universiti di Jordan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Kabir berterima kasih atas keprihatinan orang ramai menghulurkan sumbangan buat anaknya.
“Terima kasih kepada penyumbang kerana bantuan berjumlah EGP100,000 (RM26,000) itu telah membolehkan Muhammad Haikal dibedah dengan segera.
“Tindakan pantas mereka itu sangat mengharukan dan meredakan keresahan saya untuk mencari wang bagi menampung kos pembedahan,” katanya.