fbpx

Azizulhasni belum buat keputusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIZULHASNI menjelaskan tidak membuat mana-mana pilihan konkrit ke atas tawaran yang diterima kerana mahu beri tumpuan penuh kepada Sukan Olimpik 2024.

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang me­ngakui masih belum membuat sebarang keputusan berhubung beberapa tawaran yang dibuat oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Kelmarin, institusi pengajian tinggi itu menawarkan biasiswa serta jawatan pensyarah bagi menghargai kejayaan Azizulhasni yang memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang lalu.

Bagaimanapun, atlet yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman itu menjelaskan, beliau mahu memberikan sepenuh tumpuan terhadap persiapan untuk menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 terlebih dahulu.

“Syukur ke hadrat ilahi ke­rana sekali lagi saya mendapat ­penganugerahan tinggi dalam dunia akademik apabila diberikan Anugerah Kecemerlangan Tokoh Sukan UPSI serta ditawarkan biasiswa serta jawatan sebagai pensyarah.

“Bagaimanapun, saya sudah maklumkan kepada pihak UPSI buat masa ini, saya tidak akan buat mana-mana pilihan konkrit ke atas tawaran yang diterima kerana mahu beri tumpuan penuh kepada Olimpik 2024,” katanya menerusi status yang dimuat naik di laman Facebook semalam.

Pada majlis ringkas yang diadakan di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City kelmarin, Azizulhasni ditawarkan Biasiswa Bitara Pasca Siswazah peringkat Sarjana selama dua tahun bernilai RM42,225 atau Doktor Falsafah (3 tahun) bernilai RM103,700.

Atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu juga percaya tawaran yang dibuat pihak UPSI itu memastikan dia sudah ada hala tuju apabila mengumumkan persaraan dalam arena sukan pada masa hadapan.

“Tawaran seperti ini adalah satu langkah dinamik oleh pihak UPSI yang mana apabila saya menggantungkan basikal nanti, saya tahu sudah ada satu peluang baharu di situ.

“Saya juga berharap ­penganugerahan seperti ini akan menjadi motivasi kepada rakan-rakan atlet di luar sana untuk bekerja lebih keras bagi mencapai kejayaan di peringkat ter­tinggi,” ujar bekas juara dunia itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI