GEORGE TOWN – Warga tempatan di negeri ini yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19 boleh mendapatkan suntikan secara ‘walk-in’ di 10 buah pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negeri bermula pukul 10 pagi esok.
PPV itu adalah di SPICE Arena, Bayan Baru, Tapak Pesta Sungai Nibong, Kompleks Sukan Balik Pulau; Pusat Konvensyen Perda, Dewan Millenium, SP Arena, Tapak Ekspo Seberang Jaya, Vangohh Eminent, Dewan Sungai Bakap dan Dewan Serbaguna Jawi.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, suntikan vaksin secara ‘walk-in’ itu disediakan berdasarkan siapa yang hadir terlebih dahulu (first come first served) selain perlu mematuhi beberapa kriteria yang ditetapkan.
Antara kriteria itu katanya, mesti merupakan warga Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas dan perlu membawa MyKad bagi tujuan pengesahan.
“Selain itu, pemberian suntikan vaksin secara ‘walk-in’ ini juga khusus kepada mereka yang belum berdaftar atau belum terima janji temu MySejahtera.
“Mereka juga perlu mengemas kini MySejahtera sebelum ke PPV selain memastikan tidak bergejala, bukan kontak rapat dan bukan dalam tempoh kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah memberi komitmen untuk menambah baik pengurusan masa tindak balas dari pusat panggilan bagi memantau pesakit Covid-19 atau kontak rapat yang menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Jelasnya, ia melibatkan penambahbaikan tempoh masa tindak balas dari pusat panggilan antara 24 hingga 48 jam mengikut kategori pesakit sama ada berisiko tinggi atau rendah. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929