JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia menjadi tular kerana menjalani kuarantin kendiri secara berseorangan di dalam hutan dengan tinggal di sebuah pondok, lapor laman berita Merdeka hari ini.
Wanita yang memuat naik video dia menjalani kuarantin menerusi akaun TikTok miliknya itu memberitahu, dia tinggal di situ selama sebulan dengan hanya ditemani oleh haiwan-haiwan.
“Saya menjalani kuarantin kendiri yang betul-betul secara bersendirian. Anda semua pasti tidak percaya.
“Saya tinggal di sebuah pondok selama lebih sebulan dan saya bersendirian di sini kerana positif Covid-19,” katanya.
Tambah wanita tersebut, disebabkan dia berada di dalam hutan, dia tidak mempunyai akses kepada sumber elektrik.
“Saya tidak mempunyai sumber tenaga elektrik, jadi saya mengecas telefon bimbit menggunakan peranti pengecas yang menggunakan tenaga suria.
“Bagi mendapatkan cahaya lampu pula, saya menggunakan bateri,” ujarnya.
Sementara itu, wanita itu mengakui keadaan ketika waktu malam dirasakan amat sunyi sehinggakan yang kedengaran hanyalah bunyi katak dan cengkerik.
“Saya boleh memasak dan makan sendiri selain tandas juga berada berdekatan yang membuatkan saya tidak takut.
“Lampunya pula ada masanya terpadam dan ada masa menyala,” katanya. – Agensi