ZANDVOORT, Belanda – Max Verstappen menuntut pasukannya, Red Bull agar tidak memandang rendah keupayaan Mercedes meskipun berjaya meraih kemenangan pada Grand Prix (GP) Belanda di Litar Zandvoort kelmarin.
Pelumba Belanda itu kembali merampas takhta kejuaraan daripada Lewis Hamilton selepas pemandu Great Britain tersebut ketinggalan 20.932 saat dan terpaksa berpuas hati mengakhiri saingan di tempat kedua.
Verstappen kini sudah meraih tujuh kemenangan daripada 13 perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini, berkelebihan tiga mata di depan Hamilton selaku juara dunia tujuh kali menjelang perlumbaan di Monza minggu depan.
“Sudah pasti saya sangat gembira dengan kemenangan ini tetapi kami perlu terus konsisten mencatat kemenangan dalam baki pusingan perlumbaan musim ini.
“Masih banyak cabaran yang perlu kami tempuhi kerana Mercedes sememangnya mempunyai peluang untuk kembali memintas. Bagi saya, prestasi jentera perlu sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Saya harap pasukan terus berusaha untuk memperbaiki kekurangan pada jentera termasuk membawa masuk komponen baharu menjelang perlumbaan seterusnya,” kata Verstappen.
Pada saingan itu, Verstappen yang memulakan perlumbaan di petak utama mengekalkan pemanduan cemerlang sehingga pusingan terakhir meskipun dicabar hebat oleh Hamilton.
Tindakan Red Bull menggunakan strategi dua kali hentian pit ternyata memihak kepada Verstappen untuk menjulang kemenangan di hadapan ribuan penyokong sendiri yang memenuhi segenap ruang di Litar Zandvoort itu.
Tempat ketiga perlumbaan itu menjadi milik rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas, manakala pelumba Alpha Tauri, Pierre Gasly mengakhiri saingan pada kedudukan keempat. – AGENSI