CRISTIANO Ronaldo dalam beberapa minggu terakhir ini akan terus menjadi topik perbincangan dan berita hangat di dada akhbar sukan mahupun media elektronik. Mungkin tidak mustahil kekal menjadi tumpuan pada minggu-minggu mendatang apabila beraksi bersama Manchester United pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Pada aksi Kelayakan Piala Dunia zon Eropah minggu lalu, Ronaldo, 36, menjaringkan dua gol menerusi tandukan untuk membantu Portugal menewaskan Republik Ireland di Estadio Algarve.
Menariknya, dua gol itu telah melonjakkan Ronaldo sebagai penjaring terbanyak antarabangsa sepanjang zaman dengan 111 gol, memecah rekod pemain legenda Iran, Ali Daei yang mengumpul 109 gol.
Jumlah 111 gol oleh pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali itu hadir selepas 180 penampilan antarabangsa dengan purata 0.62 gol setiap perlawanan dan jaringan tersebut turut diiktiraf oleh Guinness World Record.
Terdahulu, Portugal ketinggalan 0-1 kepada Republik Ireland sebelum Ronaldo menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-89, manakala gol kemenangan pada minit 90’+6. Momen itu membuatkan Ronaldo meletup hingga meraikannya dengan menanggal jersi lalu dilayangkan kad kuning.
Kad kuning itu adalah yang kedua buatnya dalam kempen Kelayakan Piala Dunia dan natijahnya digantung satu perlawanan antarabangsa dan tidak dapat bersama Portugal menentang Azerbaijan pada 7 September (hari ini).
Ada hikmah di sebalik penggantungan Ronaldo kerana ia membolehkan bintang itu tiba di Manchester lebih awal. Sudah pasti dia memberi fokus pada persiapan untuk debut kedua bersama The Red Devils menentang Newcastle, Sabtu ini.
Apa yang mengejutkan ramai pihak, jersi Ronaldo diibaratkan pisang goreng panas sebaik sahaja No.7 rasmi milik bintang Portugal itu dan nilai jualan mencecah £32.5 juta (RM186.85 juta) hanya dalam tempoh 12 jam, rekod baharu buat Liga Perdana Inggeris (EPL).
Sebaik diumumkan, para penyokong dilihat beratur di luar Old Trafford sepanjang hari semata-mata mahu mendapatkan sendiri jersi ikonik tersebut sebaik sahaja pemilik terdahulu, Edinson Cavani secara rasmi bersetuju menyerahkan No. 7 legenda berkenaan.
Penjualan jersi No. 7 milik Ronaldo juga dilaporkan sudah melepasi angka pesaingnya yang berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG), Lionel Messi dalam tempoh 24 jam selain jersi pemain ragbi Amerika Syarikat, Tom Brady yang berhijrah ke pasukan Tampa Bay Buccaneers.
Ronaldo sangat berterima kasih kepada Cavani atas kesediaannya memberikan baju nombor 7, seperti yang dimuat naik di media sosialnya
Paling ditunggu-tunggu adalah penampilan Ronaldo pada saingan EPL di bawah kendalian pengurus United Ole Gunnar Solskjaer. Meskipun sekarang sudah berusia 36 tahun, kemampuan
Ronaldo tidak perlu dipertikaikan, namun adakah Ronaldo kali ini akan muncul sebagai penyerang paling bisa-berbisa.