PETALING JAYA – Selepas kedua ibu bapa disahkan positif Covid-19 pada 31 Ogos lalu lalu, penyanyi Azzam Sham sekali lagi diuji apabila adik perempuannya pula dijangkiti wabak tersebut semalam.
Azzam, 24, ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, adiknya, Siti Nurazwani, 17, disahkan positif Covid-19 selepas dia mengadu berasa sakit tekak dan melakukan ujian calitan Covid-19.
“Keputusan yang diterima mendapati adik positif Covid-19. Selepas mendapat tahu tentang perkara itu, saya dengan lima lagi adik-beradik yang lain turut melakukan ujian calitan dan alhamdulillah keputusan kami negatif.
“Cuma dia sahaja (Nurazwani) yang positif dan telah dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) untuk rawatan,” katanya.
Ujar Azzam atau nama lengkapnya Muhammad Azzammuddin Lop Hisham itu lagi, doktor memberitahu bahawa adiknya bukan dijangkiti Covid-19 daripada ibu bapa, sebaliknya melalui jangkitan baharu.
“Kami semua tinggal bersama. Bila dapat tahu adik positif, perasaan saya jadi tidak tentu arah. Saya bimbang sebab adik saya tidak divaksin kerana baru berusia 17 tahun.
Tambahan pula dia mempunyai penyakit tiroid. Memang saya sangat risau,” katanya.
Juara Big Stage 2020 itu bagaimanapun perlu kuat untuk adik-adiknya yang lain kerana selepas ibu bapanya dimasukkan ke Maeps, dia bersama seorang lagi adiknya memikul tanggungjawab untuk mengurus keluarga.
“Kasihan dekat adik bongsu yang berusia 10 tahun bila dia menangis sebab rindukan ibu. Tapi apa yang saya boleh buat? Kami semua terasa jauh dengan ibu dan bapa.
“Saya berharap semuanya kembali seperti biasa, dapat bersama keluarga. Sekarang ini pun saya rasa benar-benar jauh dengan mereka (ibu bapa),” tambah penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Jangan Pergi itu lagi.
Menyentuh keadaan terkini ibu bapanya, Lop Hisham Piai, 53, dan Yusnita Yusop, 45, Azzam berkata keadaan bapanya baik-baik sahaja.
Namun, ibunya mengalami penurunan bacaan oksigen dalam badan pada paras 80 peratus pada malam tadi, namun kembali normal pada hari ini.
“Kalau keadaan mereka baik, insya-Allah ibu dan ayah dijangka akan dibenarkan pulang pada Jumaat nanti. Mudah-mudahan semuanya baik-baik sahaja,” kata Azzam.
Azzam bersama empat lagi adiknya iaitu Muhammad Azim Ramdan, 22, Intan Noraziean, 21, Muhammad Azryzham, 14 dan Nur Azreen Yusrina,10, yang negatif Covid-19 masih menjalani kuarantin kendiri di rumah. – K! ONLINE