fbpx

Realiti PdPR dalam SMK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SMK musim ketiga memaparkan jalan cerita yang lebih menarik dan ceria dengan menampilkan beberapa wajah baharu.

SIRI popular SMK terbitan Astro terus mengungguli tayangan dalam televisyen apabila kini memasuki musim ketiga bermula 25 Ogos lalu menerusi saluran Astro Ceria (611).

Siri popular berkenaan membawa penonton menikmati kisah, cabaran dan keseronokan pelajar-pelajar sekolah mendepani perubahan landskap pendidikan negara yang menyaksikan sesi pengajaran dan pembelajaran dilakukan secara dalam talian.

Lebih menarik, SMK musim ketiga menyuntik kelainan dengan menampilkan wajah baharu yang dibarisi pelakon Emelda Rosmila, Zain Hamid, Nabila Razali, Nizam Jentik-Jentik, Fara Nadiah dan Kiwi Chong.

Menurut pengurus saluran Astro Ceria, Cecilia Wong, perkara utama yang dilihat menjadi faktor kepada populariti SMK sehingga berjaya menembusi musim ketiga adalah disebabkan bakat-bakat muda yang ditampilkan dalam siri berkenaan.

Biarpun masih muda, namun semua pelakon SMK mampu membawa watak masing-masing dengan baik selain pengalaman mereka yang sudah berlakon sejak usia kanak-kanak juga turut menjadi nilai tambah.

“Satu lagi faktornya ialah jalan cerita menarik dan kelakar. Maka penonton terutama pelajar sekolah yang menonton cerita ini dapat rasa hubung kait situasi semasa dengan diri mereka.

“Menariknya dalam musim ketiga ini, ada diperkenalkan beberapa watak baharu. Kami sangat menggalakkan wajah baharu dalam rancangan ini sebab percaya di luar sana ada ramai bakat muda yang belum ditemui. Kami di Astro Ceria sentiasa memberi peluang kepada mereka untuk menyerlah,” katanya.

Cabaran penggambaran

Sementara itu menurut pengarahnya, Syamil Othman, SMK musim ketiga menyuntik kelainan apabila menekankan tema perubahan dan cabaran dalam jalan ceritanya.

“Dalam musim ini, cerita SMK musim ketiga cuba memaparkan realiti kehidupan pelajar sekolah yang menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah atau PdPR.

“Malah ada berlaku perubahan apabila mereka sudah menginjak ke sesi persekolahan tingkatan empat. Terdapat sesetengahnya yang berpindah sekolah dan ada kawan baharu,” katanya.

Disebabkan kekangan menjalani penggambaran sewaktu tempoh pelaksanaan PKP, banyak cabaran terpaksa ditempuh pasukan pembikin SMK kerana perlu bekerja dari jauh tanpa boleh bersemuka.

“Banyak cabaran yang dilalui antaranya nak menghantar barangan ‘props’ kepada pelakon. Mereka pula perlu rakam babak sendiri. Konklusinya, semua keadaan berikan cabaran sebab kaedah penggambaran kali ini sangat lain, semua kena buat sendiri,” kata Syamil.

Bagi pelakon Mia Sara pula, dia mengakui berdepan banyak kekangan menjalani penggambaran atas usaha sendiri, antaranya ketika berdepan keriuhan di dalam rumah.

“Di rumah saya ada ramai adik kecil. Semua benda saya kena buat sendiri, jadi agak mencabar sikit bila kadang-kadang ada suara adik menangis dan mak pula menjerit.

“Sepatutnya boleh siap sekejap saja, tapi disebabkan ada gangguan, masa jadi panjang. Lagi satu cabarannya adalah saya rakam guna telefon, jadi agak susah sedikit. Tapi saya tetap seronok menikmati pengalaman sebegini,” kata Mia atau nama penuhnya Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 11.

Sementara itu bagi pelakon Emelda pula, menjalani penggambaran sendiri di rumah tidak memberinya sebarang cabaran kerana dia bertuah dibantu oleh suaminya, pelakon Adlin Aman Ramlie yang bertindak selaku ‘pengarah’.

“Saya rasa macam diva sebab hanya perlu bersiap dan bersolek. Turun bawah, semua sudah siap. Suami ada gajet, jadi dia banyak bantu saya lancarkan proses penggambaran.

“Dia juga banyak berkomunikasi dengan Syamil untuk bincang apa yang perlu dibuat. Cuma keadaan rumah agak huru-haralah (ketawa). Tapi apa-apa pun, kami sebagai pelakon perlu belajar perlahan-lahan dengan perubahan cara kerja sekarang,” kongsinya yang memegang watak ibu kepada salah seorang pelajar, Alya.

Selain dibarisi wajah baharu, SMK musim ketiga turut menampilkan pelakon sedia ada seperti Wafiy, Erissa Puteri, Mia Sara, Fikry, Rykarl Iskandar, dan Aniq. Drama itu bersiaran setiap Rabu pukul 9 malam juga tersedia di platform On Demand dan Astro GO.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI