KANGAR – Seekor lagi ikan lumba-lumba sepanjang 2.8 meter dengan berat kira-kira 180 kilogram yang masih hidup ditemui terdampar di pantai berlumpur di perairan Kuala Sanglang berhampiran Kampung Sungai Padang di sini hari ini.
Ikan lumba-lumba tersebut diselamatkan Perlis Nature and Wildlife (PNW) dan nelayan tempatan dengan menolaknya perlahan-lahan ke kawasan laut lebih dalam apabila air mula pasang kira-kira pukul 11.28 pagi.
Pengasas PNW, Syamil Abd. Rahman berkata, ikan lumba-lumba jenis bottlenose itu ditemui kira-kira pukul 9 pagi ini oleh nelayan sebelum pihaknya dimaklumkan tentang penemuan tersebut sejam kemudian.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati hidupan laut berusia kira-kira lima tahun itu tersangkut di antara kayu hanyut yang dipercayai menjadi punca ikan tersebut gagal untuk berenang kembali ke laut ketika air mulai surut kira-kira pukul 7 pagi.
“Jurang waktu itu agak lama sebelum bantuan tiba, jadi kami sudah cuba membantu ikan lumba-lumba itu dengan memangkunya supaya pasir tidak masuk ke saluran pernafasannya serta membersihkan selut pada badan serta memayungnya daripada terkena panas terik matahari.
“Kemudian kira-kira pukul 11.28 pagi, kami bersama nelayan mula mengiringi ikan ini ke laut pada jarak 50 meter setelah air mula pasang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929