SEBERANG PERAI – Seorang penggembala lembu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Munisipal Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita pada 28 Ogos lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, M. Kirubakaran, 29, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Aziana Azib.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan bunuh sehingga menyebabkan kematian Lee Ling Tee, 40.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Permatang Ara, Taman Seruling Emas, Nibong Tebal di sini di antara pukul 3 pagi hingga 4 pagi pada 28 Ogos lalu.
Kirubakaran yang kelihatan tenang di kandang tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.
Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh mengaku bersalah bagi dua pertuduhan memasukan dadah jenis amphetamin dan methamphetamine ke dalam tubuh.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Nibong Tebal di sini.
Tertuduh yang mengenakan kemeja-T berwarna ungu dan berseluar pendek itu didakwa melakukan kesalahan tersebut kira-kira pukul 1 pagi pada 29 Ogos lalu.
Bagi kedua-dua kesalahan berkenaan, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Kes akan disebut semula pada 8 November depan sementara menunggu laporan patologi dan bedah siasat, manakala tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.
Akhbar baru-baru ini melaporkan seorang kerani wanita ditemui mati dalam keadaan tragis di bawah katil selepas dipercayai dirogol dan diliwat oleh seorang lelaki yang menceroboh rumahnya di Taman Seruling Emas awal pagi Sabtu.
Mangsa dilaporkan maut selepas mulutnya disumbat dengan seluar dalam dan ditekup ketika mangsa meronta selepas suspek memecah masuk rumah itu kira-kira pukul 2 pagi. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929