ISLAMABAD, Pakistan – Sebuah papan iklan yang menampilkan seorang anggota kumpulan muzik pop Korea Selatan, BTS telah diturunkan kerana didakwa mempromosikan aktiviti homoseksual, lapor portal Dawn News semalam.
Papan iklan yang dinaikkan oleh salah seorang peminat Jungkook BTS itu adalah bagi meraikan hari lahir penyanyi itu pada 1 September lepas dengan kebenaran Dewan Perniagaan Gujranwala.
Bagaimanapun, selepas beberapa jam dinaikkan, papan iklan itu diarah untuk diturunkan selepas seorang anggota parti politik Islam, Jamaat-e-Islami menyuarakan bantahan.
Papan iklan tersebut sepatutnya kekal di lokasi tersebut selama dua hari.
“Kami menerima banyak rungutan daripada masyarakat setempat yang mengatakan BTS mempunyai pengaruh negatif ke atas golongan muda di sini.
“Ada yang mendakwa kumpulan ini mempromosi dan menyokong aktiviti homoseksual. Ia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima,” ujar salah seorang ahli politik, Furqan Aziz Butt.
Tambah Furqan, papan iklan itu juga tidak mendatangkan sebarang faedah buat penduduk setempat kerana BTS tidak menjual atau memiliki sebarang produk di Pakistan. – Agensi