KUALA SELANGOR – Tindakan dua lelaki termasuk seorang remaja menguji motosikal diubah suai di jalan raya membawa padah apabila ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di sini, semalam.
Kedua-dua suspek berusia 18 dan 20 tahun itu ditahan dalam tempoh sejam bermula 7 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, penangkapan mereka susulan penularan video berdurasi 30 saat memaparkan aksi suspek remaja itu yang menguji kelajuan motosikal jenis Yamaha 125Z di Kilometer 16 Jalan Kuala Selangor – Kuala Lumpur.
Katanya, bertindak maklumat kemudiannya menahan pemilik motosikal itu di Jalan Rizab Masjid, Bukit Hijau pukul 7 petang.
“Hasil semakan terhadap motosikal itu mendapati tiada nombor pendaftaran depan dan belakang.
“Selain itu, nombor enjin dan chasis motosikal itu sudah diusik. Kita kemudiannya merampas motosikal tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menambah, pihaknya kemudiannya menahan penunggang motosikal tersebut di sebuah rumah selain turut merampas sebuah telefon bimbit.
Jelas Ramli, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis memberikan amaran kepada orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang sebarang aktiviti lumba haram ataupun aktiviti pengubahsuaian motosikal yang menyalahi undang-undang,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929